.fb_like_box { margin-top:10px; -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background-color:#3B5999; border:3px solid #2B2B2B; margin-bottom:10px; padding:10px 7px; width:540px; } .fb_like_top { overflow:visible; padding:0;margin:0 0 5px; width:349px; height:24px; background:url("http://lh5.ggpht.com/_u4gySN2ZgqE/TJ3dpjy9PaI/AAAAAAAABr0/PTUXIS8ykps/fblogo%5B3%5D.jpg") no-repeat scroll left top transparent; } .fb_like_button_holder { -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background:none repeat scroll 0 0 #FFFFFF; padding:12px 12px 0 12px; width:515px; height:42px; }

Graduan diberi elaun RM500 hingga RM800 ikuti latihan

Khamis, 26 Februari 2009

26/02/2009 4:22pm

KUALA LUMPUR 26 Feb. — Penganggur dan lepasan universiti yang mengikuti program latihan anjuran Kementerian Sumber Manusia akan dibayar elaun antara RM500 dan RM800 sebulan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Noraini Ahmad berkata elaun RM500 adalah untuk graduan belum berkahwin dan diberhentikan kerja atau graduan yang menganggur manakala graduan yang sudah berkahwin, jumlah elaun ditambah RM100, dan sekiranya graduan berkenaan mempunyai anak, tambahan sebanyak RM50 akan diberikan mengikut bilangan anak tertakluk kepada maksimum RM800.

Menjawab soalan Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini, beliau berkata sejumlah RM100 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan akan diagihkan secara terus kepada perunding yang berdaftar dengan kementerian untuk mengendalikan kursus kepada graduan lepasan universiti yang menganggur.

Setakat ini, terdapat 12 perunding telah berdaftar dengan kementerian itu manakala 10 majikan akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk program itu.

Noraini berkata kementerian melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, telah mengadakan beberapa seminar berkaitan pengurusan kewangan, kursus keusahawanan, kursus jahitan dan kursus makanan.

Katanya, usaha ini bertujuan membantu kumpulan tertentu di luar bandar memperoleh kemahiran asas bagi membolehkan mereka berdikari dengan menyertai perniagaan secara kecil-kecilan.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia turut mengadakan latihan dalam bidang pemandu pelancong, tukang masak, jahitan dan jurugaya yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan bantuan bagi meningkatan kemahiran mereka supaya mendapat pekerjaan. — Bernama