Sabtu, 14 Julai 2012
Sibuk dengan dunia. Itulah ungkapan yang boleh aku katakan pada saat ini. Hidup yang tak serupa dengan rakan lain yang mempunyai masa untuk bersama rakan-rakan dan keluarga namun aku tidak. Inilah rezeki manusia. Memang kita ini hidup yang sudah ditakdirkan sejak azali lagi. Semakin ramai jenis manusia yang aku kenal dan semakin aku menghampiri realistik dunia meskipun masih punya sebahagian dunia lagi yang harus aku tempuh.
Teringat akan mama dan abah di kampung. Mereka pasti sunyi tanpa anak mereka yang seorang ini. Adik aku yang bakal menghadapi SPM tahun ini juga tidak aku hiraukan untuk beberapa bulan. Maafkan aku, aku tak mampu lagi untuk berhadapan dengan karenah dunia ini. Cuma bagilah aku sedikit ruang untuk terus menyendiri kerana takdir kita semua tidak akan pernah sama sampai bila-bila. Meskipun kita semua telah menempuh takdir masing-masing.
Siang malam menghadap kepada dunia yang tidak akan pernah tahu bila masa yang sesuai untuk berhenti seketika. Semuanya sudah kelihatan sama dan tiada beza lagi. Entahlah apa pula nasib aku pada keesokan hari. Puas sudah aku mentelaah kehidupan kotaraya. Terasa ingin kembali ke zaman persekolahan dahulu. Punya banyak masa untuk berfikir dan menzahirkan apa yang difikirkan meskipun tidak ramai yang ambil peduli. Terlalu banyak sangat mengomel juga tidak ada gunanya, tapi ini hanyalah sebuah nukilan yang harus aku luahkan sebelum ia mnejadi barah kepada otak yang semakin sarat dengan perjalanan hidup. Bila sampai waktunya nanti jam itu akan terhenti sendiri dan pada ketika itu kita tidak mampu berkutik akan apa-apa lagi untuk dijadikan amalan untuk diri dan keluarga. Dengan tulisan dan luahan ia akan menjadi sebuah mimpi yang indah buat kepada semua pencerita dan jua pembaca.
Apa yang aku nak kau tahu, aku masih sendiri dan terus sendiri. Pengalaman semalam cukup menghenyak diri aku sehingga aku ketakutan dan layu. Biarlah, tiada apa yang perlu kau peduli. Kau mungkin juga begitu disaat roda dunia kau berada di barisan paling bawah bulatan itu. Cuma bezanya roda hidup aku sudah pecah dan akan sentiasa berada di bawah. Tak perlu pedulikan aku kerana aku akan terus ambil peduli pasal kau.