Jumaat, 17 Januari 2014
Bismillahhirrahmannirrahim,
Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Tanggal 14 Januari 2014 bersamaan hari Selasa merupakan hari kelahiran junjungan besar Rasulullah s.a.w. Seluruh umat Islam di dunia meraikan hari kelahiran Baginda dalam sambutan Maulidur Rasul. Ia merupakan hari kebesaran bagi umat Islam di serata cerok dunia.
Pada sebelah malamnya sewaktu aku sedang bertugas di pejabat, aku dikejutkan dengan menerima pesanan ringkas dari Mama mengatakan bapa saudara aku, Pak Hisham, telah kembali kerahmatullah pada malam tersebut. Setelah sekian lama mengharungi dunia sendirian, beliau akhirnya telah dijemput Tuhan untuk menghadapnya. Aku masih belum tahu bagaimana keadaan Pak Hisham sebelum dia menghadap Ilahi kerana aku tidak berkesempatan untuk menziarahi hari pengebumiannya. Aku hanya sempat menerima pesanan ringkas dari mama dan menerima panggilan telefon dari Abah mengatakan dia telah pergi buat selamanya.
Satu lagi pemergian adik beradik mama yang hanya berlaku dalam tempoh sebulan. Rasanya baru beberapa minggu yang lalu pulang ke kampung menghadiri tahlil arwah Mak De yang baru meninggal di pertengahan bulan Disember lalu kini, menerima lagi satu pemergian yang sungguh sayu. Memang sebelum ini, Pak Hisham telah mengalami hati bengkak, sehingga perutnya membusung dan dia susah untuk menghadam makanan. Terlalu mudah mereka pergi dek kerana asbab kesakitan dunia. Sudah ketentuan ilahi mereka pergi meninggalkan kehidupan daripada kesengsaraan dunia. Kesakitan yang tak guna untuk diubati melainkan mati. Moga roh Mak De dan Pak Hisham aku itu terus langsung menghadap tuhan dalam keadaan yang tidak sakit seperti yang mereka hadapai ketika di dunia.
Apakah kisah seterusnya nanti, Tok telah melihat satu persatu anak-anaknya meninggalkannya. Semoga doa seorang ibu itu mampu meliputi lembayung langit dan bumi. Ya Allah ampunkanlah mereka yang telah engkau panggil pergi dan tempatkanlah mereka dalam keadaan mereka telah diampunkan oleh Mu.