Jumaat, 26 Disember 2014
Dalam beberapa hari ini, negara Malaysia terutama negeri yang ditimpa bencana bah terburuk pada tahun ini dirundum kesedihan dan kedukaan. Namun sikap prihatin rakyat pelbagai bangsa ini disulami rasa belas dan ehsan sesama manusia dalam melakukan pelbagai misi kemanusiaan secara sukarela mahupun individu. Pelbagai pihak mahupun badan kerajaan, individu mangsa, keluarga mangsa dan badan bukan kerajaan serta semestinya pasukan penyelamat bertungkus lumus memberikan bantuan dengan kadar yang mereka mampu dan usahakan.
Kejadian banjir di kawasan pantai timur di penghujung tahun adalah biasa cuma yang membezakannya antara tahun sebelumnya adalah bilangan manusia yang menghadapinya. Bagi sesetengah negeri di pantai timur ada negeri yang menerima bencana bah yang terburuk dalam tempoh beberapa dekad dan ada pula yang mengalami bencana sedikit teruk dari tahun sebelumnya. Di Kelantan dilaporkan mangsa banjir meningkat melebihi 100,000 orang diikuti Terengganu dan Pahang. Namun ia turut membabitkan beberapa negeri di pantai barat dan utara secara serentak memandangkan cuaca sudah lagi tidak mengira masa dan ketika.
Yang menjadi persoalan hangat di laman sesawang dan media sosial lebih berbentuk keluhan kepada pemimpin yang paling ramai dibenci oleh rakyat marhaen di Malaysia dan pakatan Kerajaan yang senantiasa menjadi bahan ejekan dan cemuhan rakyat ini. Sepatutnya media sosial digunakan untuk mempercepatkan pertolongan dalam bentuk maklumat dan pengumpulan dana serta bantuan berbentuk kebendaan kepada mangsa banjir ini. Namun yang berlaku adalah sebaliknya, malah mereka yang tertentu dihentam secara nalar yang difikirkan oleh individu yang sememangnya ada perasaan kurang senang itu.
Meskipun ada kerajaan yang zalim di atas muka bumi ini namun bagi sebuah negara Islam masih belum ada kerajaan yang terlalu kejam dan menidakkan hak rakyat yang sepatutnya. Pemikiran golongan satu hala ini perlu dikikis kerana ia akan menemplak mereka yang tidak bersangkut paut dengan kebencian yang tidak boleh diterima oleh sesetengah golongan di negara kita ini. Apa yang sepatut dilakukan sekarang dilakukan apa yang patut diutamakan dahulu iaitu menempatkan mangsa banjir ke kawasan yang selamat dan mencukupkan keperluan apa yang sudah diterima melalui pelbagai sumbangan dan bantuan.
Artikel ini lebih berbentuk untuk menyatu padukan mangsa dan bukan mangsa banjir dan bukanlah selain daripada itu. Ini bukan masa untuk menuding jari siapa yang kena ada dan perlu pertama sampai memberikan bantuan. Mungkin ada mangsa yang masih belum diselamatkan dan terpaksa menghadapi saat paling getir dalam kehidupan ketika ini sudah tidak memandang siapa yang pertama menghulurkan pertolongan kepada mereka. Nyawa lebih diutamakan tidak kira mangsa atau pun pasukan yang memberi pertolongan.
Diharapkan rakyat Malaysia bersatu hati dan tekad memohon pada Allah s.w.t agar diringankan kepayahan yang menimpa ini. Yang menjadi mangsa terdiri dari golongan susah dan janganlah ditambahkan lagi kesusahan sehingga mereka tidak lagi mampu menanggungnya.
#Pray4MangsaBanjir
#Pray4Perpaduan
#Pray4Keselamatan
26 Disember 2014, Jumaat.