.fb_like_box { margin-top:10px; -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background-color:#3B5999; border:3px solid #2B2B2B; margin-bottom:10px; padding:10px 7px; width:540px; } .fb_like_top { overflow:visible; padding:0;margin:0 0 5px; width:349px; height:24px; background:url("https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhqJPOVHMI8DX06YQcMdlDoBFCN-CbyHEtluPZGwzv4GqYFCCLxzfThfReR-V4iKLDjSdkk5_gKR4KUxmkaSpjkASuPIWaEJ9NWJPTxCkH28A9S7Ma8xgp_VIv5eYqr6xRMr2LhGbe8nyA/") no-repeat scroll left top transparent; } .fb_like_button_holder { -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background:none repeat scroll 0 0 #FFFFFF; padding:12px 12px 0 12px; width:515px; height:42px; }

Ahad, 10 Julai 2011

Kenapa tidak kau hunus sahaja roh ku
Biar mengaduh keperitan
Kenapa kau simpan doaku
Biar penuh segala harapan

Jari lembut merapat ke dada
Menekan jantung yang tak berdaya
Kenapa aku masih bernyawa
Tidakkah kau membenci
Seperti mana insan yang lain
Meratap jauh sendiri
Untuk hari esok

Kau ciptakan permainan ini
Kau musnahkan perjuangan itu
Kau catatkan semua pengakhiran
Tanpa sedikit pun rasa belas

Mungkin aku makhluk lemah
Tidak tahu menahu segala
Malah tidak faham semua perkara
Memilih umat yang sedia ada
Tanpa rasa bersedia

Tak mengapalah
Tiada apa-apa yang boleh diubah
Tiada siapa-siapa yang boleh mengubah
Hanya engkau yang Esa memerintah

Menjanjikan faedah firdausi
Membelakangkan jahhanam
Kau pemerintah alam
Tiada kuasa mampu menggugat
Meskipun askar semut merah
Berhimpun sebanyak semesta
Akhirnya mereka layu dimurka.

Kalaulah Engkau baca semua ini...

Sabtu, 9 Julai 2011

Kalau engkau baca semua tulisan aku
Kalau engkau merasa tulisan aku
Kalau engkau mampu melihat semua ini
Aku yakin engkau akan tahu
Siapa yang benar hina di dunia ini

Aku berdiri di dunia tanpa kaki
Aku duduk tanpa merasa nikmatnya
Tapi aku masih bersyukur
Engkau masih ada semua itu
Meskipun tanpa aku
Kau masih boleh merasakannya

Disaat aku memulakan tulisan
Engkau harus tahu aku
Merasakan sendirian tanpa suara
Malah lebih teruk dari itu
Tapi siapa yang datang tidak penting
Aku sentiasa mengharapkan engkau tiba
Ketibaan yang seumpama mustahil
Tapi aku menanti

Entah sampai bila
Aku mampu bertahan
Setiap asap beracun itu aku telan
Agar ia mampu memberikan aku
Segera beredar dari bumi nyata ini

Mata aku melilau di saat aku bersuara
pada engkau
Tanda aku meminta engkau memerhati
Terus ke dalam lubuk hati
Kata-kata aku penuh debar
Takut tersilap ketika membahaskan rasa

Engkau bertuah lebih dari aku
Tapi aku masih lagi menanti
Sesuatu yang hampir pasti
Bukan milik aku

Aku tahu engkau merasakan sunyi
Tapi engkau tidak berbicara
Malah engkau selindungi dengan
Selindang baru yang engkau kenakan
Cocok dengan apa jua warna

Aku mula mengerti mengapa
Tuhan biarkan aku sendiri
Kerana aku tidak ada tuahnya
Sehinggakan aku mimpi ngeri buat engkau
Kalau lah engkau baca semua ini...

Perhimpunan Bersih 2.0

Selasa, 28 Jun 2011


Bersih 2.0

Melihat kepada tajuk perarakan ini (BERSIH 2.0), demonstrasi jalanan bagi berhaluan radikal di Malaysia yang semakin menjadi topic hangat dalam media elektronik. Semua ini seolah propaganda di zaman kepimpinan Adolf Hitler di zaman kegemilangannya dahulu. Tunjuk perasaan boleh berlaku di mana-mana dan ia semestinya berakhir dengan keganasan mahu pun kedukaan. Adat berjuang mesti ada yang menang dan kalah, jadi tidak hairanlah mengapa peperangan itu akan sentiasa wujud hingga hari kebangkitan semula umat manusia.

Masalahnya sekarang, tunjuk perasaan ini boleh dinilai sejak awal lagi sebelum ianya benar-benar bermula. Kesan dan akibatnya juga sudah boleh diramal. Pemimpin radikal hari ini tidak ada isu yang jelas dan tentangan mereka tidak mendatangkan apa-apa hasil kepada orang kebanyakkan seperti kita semua. Yang pasti golongan pemerintah tidak akan berdiam diri, tapi jangan sampai pihak asing masuk campur dalam pertelagahan kita dalam negara ini.

Tidak salah untuk mengambil panduan bagaimana Onn Jaafar berjuang demi memerdekakan orang Melayu di zaman kepimpinan Inggeris, dan bagaimana juga mereka berkorban jawatan mereka demi untuk melihat orang selepas ini merasakan kenikmatan yang mereka perjuangkan. Kejayaan melibatkan pengorbanan, begitu juga pejuang di dalam politik yang diwakili Parlimen. Tidak ramai tokoh yang mampu dijadikan ikutan tetapi masih ada mereka yang layak ditabalkan sebagai idola pemimpin sepanjang zaman. Pokok pangkalnya, pemimpin perlu mengkaji sejarah MELAYU dan TANAH MELAYU sebelum memandai untuk memacu negara kea rah yang lebih mencabar.

Lihat sahaja politik dalaman di dalam anggota UMNO sendiri, mereka juga bertelagah suatu ketika dahulu kerana mereka tahu ramai yang mampu memimpin dan bukan semua boleh memimpin serentak. Tun Mahathir juga ada menitipkan cerita benar dari dalam buku biografi beliau. Jadi pergilah dapatkan buku tokoh yang disanjung hampir disegenap pelusuk dunia. Beliau setanding J.F Kennedy dan King Martin Luther yang tertulis dalam sejarah. Bezanya pengakhiran perjuangan mereka tidak semuanya mengorbankan nyawa. Tapi itulah yang cuba ditonjolkan oleh golongan pemikir.

Kita tidak perlu ramai dengan pemimpin yang gagah melaungkan kekerasan melalui jalanan, tetapi kita perlu imbangi dengan ahli pemikir yang mampu melangkau masa hadapan untuk meramal nasib orang yang di kemudian hari. Jadi berfikirlah, sekiranya apa yang kamu bawa dalam perhimpunan BERSIH 2.0 itu benar-benar mampu membantu kamu, maka teruskanlah, tapi sekiranya ia masih samar-samar maka tinggalkanlah. Menghormati diri itu lebih dulu diterapkan sebelum menghormati orang lain. Fikirkanlah denga pemikiran yang runut dan dalam. Bebaskanlah diri daripada nafsu syaitan yang mencengkam.
Makan nasi juga melibatkan nafsu inikan pula protes yang membabitkan puluhan ribu manusia pelbagai ragam.

Enam Bulan Lalu

Isnin, 27 Jun 2011


Enam Bulan Lalu

Peristiwa enam bulan lalu masih berbekas di dalam hati aku, tetapi aku sentiasa berharap pada tuhan itu bukanlah satu bentuk hukuman kepada aku. Jauh dari sudut hati ini, terasa ingin marah dan menangis dalam masa yang sama. Kekuatan bukanlah terletak hanya pada apa yang kita nampak sebagai sesuatu yang positif, tetapi apa yang tuhan telah berikan dan kita menerimanya dengan hati yang terbuka.

Iklim di Malaysia hanya ada dua sahaja iaitu hujan dan panas, jadi tidak perlu ada salji atau hujan ais yang menghentam cermin kereta yang berada di jalan raya. Begitu juga dengan hati, ia cuma boleh merasa sedih dan gembira, maka tidak perlulah terasa terlalu lama untuk menyimpan sesuatu yang berat. Yang ‘happy’ akan bersilih ganti dengan ‘moody’ maka begitulah sebaliknya. Itulah keajaiban tuhan yang menciptakan akal untuk berfikir dengan jelas atau pun secara tersirat.

Tidak semua orang dihadiahkan kekuatan untuk bangkit dari kejatuhan, dan tidak ramai yang tidak suka berkongsi kisah duka silam mereka dengan kawan atau sahabat. Berdiam diri mungkin adalah sesuatu yang dirasakan paling baik untuk mengadili kehidupan ini dengan pandangan tersendiri. Maka tidak hairanlah mengapa apa yang kita adili itu kadangkala terasa berat sebelah. Tidak sempurna bukan bermaksud tidak normal, tetapi sekadar tidak menepati teori yang cuma diterjemahkan dalam bentuk hipotesis nyata.

Aku sering bertanya pada hati, bagaimana Einstein mengira nasib hidupnya setelah zaman silamnya begitu suram dan celaru? Entah bagaimana para sahabat mampu menjejaki rasulullah dalam tabii harian mereka?Semua jawapan adalah subjektif dan mengikut perkiraan masing-masing. Tuhan lebih mengetahui mengapa matematik dihitung dan dihisap sedemikian.

Enam bulan yang penuh ranjau. Jangka yang panjang itu masih terasa seolah seperti semalam. Rasa ditikam dari belakang dan dihunus dari depan menjadikan aku rebah tempang tanpa mampu berputik apa lagi. Biarlah, semua orang menggangap sejarah adalah sesuatu untuk disesali dan bukanlah dijadikan panduan mahu pun kenangan di masa mendatang. Yang gembira akan kedepan yang sedih akan merasakan kesakitannya. Tidak akan siapa ambil peduli kerana aku tidak pandai menyatakan apa yang aku rasa, melainkan dalam setiap baris kata yang tertulis dalam ini.

Jangan risau, semua ini sangat mendalam dan santai untuk dibaca bukan untuk didalami.
Kuatkanlah semangat dan kerahkan daya upaya untuk terus berdiri meskipun kakiku sudah tiada lagi.

Suasana Janggal

Selasa, 21 Jun 2011


Suasana Janggal

Dari atas aku melihat ke bawah
Dari bawah aku terus mendongak tegak
Aku berdiri dari tirai jendela
Namun kali ini lebih tinggi dari biasa
Dari tingkat kelima
Kejiranan sebelas presint
Putrajaya

Aku melangkah ke alam luar dari biasa
Aku bingung menyendiri
Sesat kesana sini
Mencari laluan benar dan pasti
Akhirnya setelah hari-hari sukar itu kelalui
Rupanya aku belajar sesuatu
Laluan sukar itu adalah laluan yang benar
Cuma perlu diamati sendiri
Setelah hati ini terbuka kembali

Rasa bercampuran
Jiwa bergelojakkan
Akal berfungsi tetapi sangsi
Apakah ini sekali lagi pilihan
Yang tidak ada yang lain
Atau ini suratan
Yang tertulis sejak semalam

Tenang aku mencari
Sabar aku menanti
Dalam dingin dan kelam itu
Aku dapat melihat cahaya
Cahaya yang pernah terangi aku dahulu
Tetapi berapa lama untuk aku ke sana

Tidak mengapa
Tuhan tidak zalim dan alpa
Tuhan itu indah dan bijaksana
Aku belajar mengerti
Mencari sesuatu aksi pasti

Cukuplah aku di sini
Menemui rentak kembali
Meskipun langkah masih sumbang
Nada masih senak
Dan minda makin terurai
Aku puas hati
Hanya untuk kali ini
Sendiri mengubati luka semalam
Yang tidak kurang pudar.

Petang Yang Damai

Ahad, 15 Mei 2011

Batu Caves
Pagi yang penuh hangat
Disinari terik mentari asli
Dilimpahi dengan bunyi bingit
Datang dari timur dan barat
Orang kota sibuk merancang
Menambah rumah di atas tanah lama
Tanah yang tidak sebesar mana
Akhirnya telinga aku merana
Menahan bingit di pagi hari
Di kala hujung minggu menjelma

Ku heret motor sayangku
Ku lintasi kesibukan hujung minggu itu
Menuju kota yang lagi satu
Aku memacu laju
Melewati gunung yang menghijau
Merentasi udara yang dingin
Menikmati suasana tenang
Diatas jalanan menuju ke negeri Darul Makmur
Selang beberapa jam
Pantas aku dihadapan rumah
Yang aku tinggalkan dahulu
Terpacul wajah ibuku sedang mengemas
Mencantikkan halaman rumah tinggal itu

Kuantan
Itulah mana aku bermula
Itulah mana aku membesar
Penor satu tempat yang aku ingati sampai hari ini
Sentiasa aman damai dalam roh dan jasad
Digenangi oleh seluas Tasik Sendayan
Dikelilingi hutan paya merimbun
Yang menanti dimusnahkan hijaunya
Musim hujan lalu kini telah berlalu
Kini suasana panas berangin bertiup lalu

Dalam alam maya ini aku menulis semua
Apa yang aku sendiri lalui
Tanpa sebarang pengaruh luar
Tanpa sesiapa ambil tahu
Aku sendiri menanggung ini
Tuhan pilihkan hidup untukku aku
Aku berusaha bertahan di alam ini
Alam sementara yang indah luarannya.

Bila Bulan Berbicara Senang

Isnin, 11 April 2011




Bulan seolah menari riang
Bintang seakan lampu gemerlapan
Jantung berdegup mengikut irama
Jiwa melayan perasaan diri

Fikiran masih melayang terbang
Hinggap di destinasi tak pasti
Bagi melepaskan lelah kepenatan
Mencari tenaga untuk terbang lagi

Dapatkah dirasa apa yang mendatang
Dapatkah di teka apa yang dicari
Mungkinkah ini Cuma mimpi
Rekaan minda dan hati

Tuhan menjadi tempat bergantung
Segala harapan dan kekecewaan
Yang pasti hidup ini kuteruskan
Walaupun tanpa halatuju yang nyata

Sering bertanya ke mana aku selepas ini
Adakah terus berhenti atau mencari
Melewati masa yang tak kenal henti
Melangkaui batasan yang tak bertepi

Jalan yang lurus itu terasa berliku
Tidak tahu yang mana satu
Yang harus ku tuju
Melainkan kupejam mata
Dan celik kembali setelah

Hari baru bulan baru
Namun masih sama
Hati masih lagi bercelaru
Mungkinkah kesilapan lalu kini
Cuba menghukum diri ini
Dengan gaya yang tersendiri

Kau jangan pernah lelah menanti
Aku akan sentiasa di sini
Wahai hati yang tidak pasti
Akan ku hiburkan dengan sejati
Selagi mata belum terkatup mati

Minda bermain girang
Tangan masih lagi pantas memintas
Apa yang masih terkenang
Usah dilupa walau cuba dilupakan
Terasa dahulu sehingga kini
Masih menjadi pengubat hati

Jangan pernah mengaku kalah
Kerana gagal itu tiada makna
Di Alam yang indah ini
Kau masih mampu tersenyum
Walau aku masih merasa sedih
Tatkala perasaan merayu padamu
Pulangkan nostalgia kita dahulu.