.fb_like_box { margin-top:10px; -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background-color:#3B5999; border:3px solid #2B2B2B; margin-bottom:10px; padding:10px 7px; width:540px; } .fb_like_top { overflow:visible; padding:0;margin:0 0 5px; width:349px; height:24px; background:url("https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhqJPOVHMI8DX06YQcMdlDoBFCN-CbyHEtluPZGwzv4GqYFCCLxzfThfReR-V4iKLDjSdkk5_gKR4KUxmkaSpjkASuPIWaEJ9NWJPTxCkH28A9S7Ma8xgp_VIv5eYqr6xRMr2LhGbe8nyA/") no-repeat scroll left top transparent; } .fb_like_button_holder { -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background:none repeat scroll 0 0 #FFFFFF; padding:12px 12px 0 12px; width:515px; height:42px; }

Diri Sendiri

Selasa, 29 Januari 2013

Masa begitu terhad untuk selalu mengisi ruangan di sini. Idea ada cuma tak dapat nak diluahkan kepada tulisan dan tak mampu dilakukan tanpa ada perasaan untuk menulis.Kali ni nak bercerita sikit tentang kisah yang telah aku jalani sejak beberapa hari ini.

Kehidupan aku tak banyak berubah setiap hari namun takdir yang baik tidak akan selalu menyebelahi aku. Rutin aku yang wajib adalah melaksanakan tugas di pejabat selama 12 jam hampir setiap hari untuk seminggu bekerja. Apabila tiba di rumah dalam keadaan penat dan jiwa yang berkecamuk melihat kawan serumah rasa maacam nak marah pun ada. Tidak diketahui apa puncanya.Kepenatan yang melampau kadangkala mampu mewujudkan stress. Di rumah sewa aku, seorang demi seorang yang mula keluar untuk memulakan hidup baru di tempat lain. Selepas ini aku juga terpaksa berkira-kira untuk mencari kawasan perumahan yang baru untuk meneruskan kehidupan aku di Kotaraya Metropolitan ini.

Untuk mengisi masa lapang aku yang hanya penuh dengan jadual kerja (kerja aku tak penat cuma kena kerja dalam masa yang panjang) aku terpaksa mencari waktu dan kawan aku sendiri untuk memenuhi tuntutan itu.
Aku ada dua pilihan semasa aku off day sama ada aku akan balik kampung halaman atau keluar lepak dengan kawan aku sorang ni yang kerja dekat Metrojaya Mid Valley. Kawan aku sorang ni pun susah nak dapat cuti macam orang lain kerana dia juga dituntut untuk kerja sepanjang hari cuma dia kerja dari 9pagi hingga ke 7malam. Melihat waktu kerja dia dan juga suasana persekitaran yang dia alami jauh berbeza daripada aku. Kehidupan dalam pekerjaan aku penuh rasa ketakutan dan syak wasangka. Suasana yang tidak baik untuk perkembangan otak.

Satu lagi pilihan adalah aku akan keluar dengan seorang lagi kawan yang baru jugak la aku kenal sejak kebelakangan ini. Dia ni tak sempurna dari segi mental, kerana dia melalui masalah kecelaruan gender. Rasanya ramai yang faham apa yang dimaksudkan kecelaruan gender. Saja nak gune perkataan itu supaya nampak lebih sopan. Meskipun dia ni begini tapi aku tetap berkawan dengan dia. Dia mempunyai perwatakan wanita namun hati dia tetap kebal seperti seorang lelaki. Tidak mudah terasa atau iri hati seperti perempuan original yang lain. Mungkin ini sekadar cerita yang cuba aku olah untuk sedap didengar.

So masa aku akan penuh dengan kehadiran dua orang kawan aku yang baik buat masa sekarang ni. Aku mungkin ada kawan yang lain, tetapi dua orang ini tidak pernah membuatkan aku rasa marah dan tidak pula menyebabkan aku merana seumur hidup. Jadi aku hanya terima apa yang telah Tuhan berikan kepada aku. Cuma aku tidak tahu bahawa ini adalah hadiah atau hidayah atau musibbah atau apa saja.

Bersambung....

Googled, Just Googled

Selasa, 25 Disember 2012


Mencari jalan penyelesaian dengan carian Google. Terlalu berharap kepada alam maya dan terbelenggu.

1. Semua mende nak google. Mudah sangat orang sekarang ni nak cari jawapan kepada persoalan harian.
2. Cari kawan pun guna Google ke? bukan cari kawan baru tapi cuma cari orang yang kita pernah kenal     
    cuma tak pernah bertegur sapa sebelum ni.
3. Google umpama doktor kepada semua persoalan kita.Kekadang nak cari Tuhan ni pun pakai main type  
    je.
4. Dengan Google dan internet, kita cuma perlu cari apa perkataan yang terlintas kat kepala sebelum kita 
    ingat sepenuhnya apa sebenarnya yang nak dicari.
5. Zaman bergerak sangat pantas, kalau kita ketinggalan kita akan terasa seperti baru dilahirkan semula di  
    zaman Dinosaur.
6. Ketenangan mendengar lagu yang digemari hanya memerlukan kekuatan jari untuk menghentam keyboard.
7 Keupayaan IQ minda diperlukan untuk menterjemah bahasa indah yang digunakan dalam sistem maya
   Google.
8. Kalau key in perkataan yang salah pun masih jumpe apa yang nak dicari tadi.

Fikir-fikirkan. Selamat beramal.

Puisi Diri Bila Keletihan

Selasa, 18 Disember 2012

Dahulu
Ketika tiada wang dan makanan
Sambil menelaah buku pelajaran
Sambil bersukaria dengan rakan
Menjadi teringat betapa suka dan dukanya

Kini
Bila bekerja seharian
Mencari wang siang dan malam
Tiada lagi hilai dan tawa
Yang ada hanya ibu dan ayah
Setia menanti kepulangan anaknya ini

Bila
Penat dan lelah dicurahkan
Peluh keringat diperahahkan
Jiwa dan raga dilemparkan
Minda jadi kepenatan
Jadi tanpa hala tujuan
Merana satu badan

Kenapa
Takdir ini memilukan
Tanpa ada belas dan ehsan
Menyiksa diri yang keletihan
Menjadi teman hanya tilam dan bantal

Bagaimana
Harus aku teruskan
Perjuangan yang entah sampai kapan
Belum punya apa-apa sebagai bekalan
Yang tinggal hanya dua kaki dan tangan
Tinggal masa untuk minta di simpan

Dunia
Menghukum orang lemah dan tak berpelajaran
Yang kaya menipu dan menekan
Mereka yang tak mampu untuk melawan
Akhirnya melihat sendiri diri dikafankan
Seolah ia terbang ke awang-awangan
Sabar mencari nikmat Tuhan.

Subjek Penulisan di sekolah rendah dan menengah

Rabu, 5 Disember 2012


Subjek Penulisan di sekolah rendah dan menengah.

                Topik yang ingin dituliskan pada kali ini adalah mengenai subjek penulisan. Adakah anda masih ingat akan subjek Penulisan ketika di sekolah rendah dan juga menengah? Pasti ramai yang akan tersenyum sinis apabila dipersoalkan tentang soalan ini. Di dalam benak pemikiran setiap orang pasti terimbau kembali wajah guru yang mengajar mereka untuk subjek Penulisan ini. Ada juga yang mungkin terfikir akan betapa malasnya menyiapkan kerja sekolah setiap kali hujung minggu apabila dibekalkan dengan kerja membuat karangan sebanyak dua tajuk setiap kali tiba hujung minggu. Mungkin ada dikalangan anda yang akan menyiapkan kerja sekolah membuat karangan ini ketika waktu malam Ahad sebelum bermulanya sesi persekolahan pada Isnin pagi berikutnya.

                 Sebenarnya ramai anak muda Melayu kita mempunyai kemahiran dalam bidang penulisan pada zaman awal persekolahan mereka. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk menghasilkan karangan yang panjang sehingga menjangkau tujuh dan lapan perenggan bagi murid sekolah rendah. Sekiranya ingin mengira jumlah patah perkataan yang ditulis maka akan bertambahlah bilangannya setiap kali menghantar latihan kerja sekolah ini. Mungkinkah pelajar hari ini masih lagi berusaha sedaya upaya untuk menulis karangan yang panjang untuk mendapatkan markah yang penuh kerana semakin panjang karangan yang ditulis maka akan semakin bertambahlah jumlah isi kandungan karangan itu. Saya tidak terfikir yang pelajar sekolah rendah pada hari ini akan menulis karangan yang begitu panjang kerana pihak sekolah atau Kementerian Pelajaran akan menapis berapakah had jumlah perenggan yang akan ditulis oleh pelajar bagi tujuan peperiksaan.

                Penulisan bagi saya adalah ekspresi dalaman setiap orang tentang bagaimana mereka meluahkan sesuatu tajuk yang dituliskan ke dalam bentuk ayat. Menulis memang tidak susah tetapi menulis dengan susunan ayat yang baik disusuli pula dengan keindahan bahasa yang cantik menyerikan lagi sesuatu karangan yang ditulis itu. Tujuan menulis disamping untuk tujuan bercerita perlulah disertakan dengan perasaan yang mudah difahami kerana orang yang akan membaca karangan itulah yang akan menjadi penilai kepada kualiti penulisan kita. Sebenarnya sikap suka menulis ini perlu diterapkan ke dalam budaya kita seharian sama seperti kita menerapkan budaya suka membaca dikalangan anak-anak dan orang dewasa.

                Untuk menulis kita memerlukan modal iaitu idea atau sekurangnya pengalaman tentang suatu tajuk yang akan diceritakan. Di sini ia menggalakkan setiap orang cuba untuk mencari maklumat mengenai suatu tajuk dan dibiarkan menulis dalam gaya bahasa mereka tersendiri termasuklah pandangan peribadi mereka. Minda perlu sentiasa diasah untuk berfikir dan sentiasa diluahkan supaya apa yang difikirkan tidak hanya terbiar begitu sahaja. Baik atau buruk setiap ekspresi dalam bentuk penulisan itu boleh mengurangkan tekanan yang dihadapi. Selain itu juga melalui penulisan mereka boleh membayangkan mengenai sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku dalam kehidupan sebenar atau ia hanyalah rekaan semata-mata. Ini dipanggil imaginasi dan di zaman ini imaginasi perlu mendahului teknologi kerana ia akan membawa kepada suatu perubahan melalui apa yang telah kita fikirkan hari ini untuk masa depan.

                Jadi, sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak, perlulah mengambil satu langkah kehadapan dengan menggalakkan anak mereka untuk memulakan sikap suka menulis disamping diterapkan sikap suka membaca. Apa yang telah dilakukan oleh para guru di sekolah amatlah bertepatan dengan memberikan latihan menulis karangan hampir setiap minggu. Ini adalah salah satu langkah dalam cubaan untuk memartabatkan bahasa Melayu bagi golongan Melayu supaya tidak melupakan bahasa sastera yang  hanya boleh dijumpai melalui buku-buku yang ditulis oleh penulis lama. Kosa kata yang digunakkan oleh penulis lama adalah lebih klasik dan jarang didengari dalam masyarakat Melayu moden hari ini. Bahasa ini mungkin akan menjadi lebih janggal digunakan sekiranya ia tidak sentiasa diperlihatkan kepada anak bangsa kita pada hari ini. Oleh itu marilah kita menetapkan bahawa setiap hujung minggu , kita cari satu topik yang mudah dan luahkan pandangan kita terhadap tajuk tersebut dan catatkan di dalam buku atau mana-mana media elektronik. Hari yang semakin canggih ini sepatutnya mampu menambahkan kualiti dan mutu gaya penulisan bangsa hari ini dalam kemahiran membuat karangan.

 “Jadikan Hujung Minggu Sebagai Hari Untuk Menulis”.

Perjalanan Itu

Sabtu, 10 November 2012

Matahari masih lagi bersinar
Terbit dari timur
Masih hangat dan menghangatkan
Kekal memberi harapan kepada makhluk di sekelilingnya

Terduduk aku sendirian berfikir sejenak
Terdengar khabar kurang enak
Kawan menyapa tentang DIA
Tentang kekasih yang aku harapkan
Sampai hujung nyawa

Aku dan dia bukan lagi apa-apa
Juga tidak lagi menjadi teman
Mungkin juga kawan
Kerana aku sudah dibuang jauh
Dari sudut sisi pandangannya

Perjalanan aku dan dia umpama keretapi
Yang menuju Utara
Setelah bertolak dari Selatan
Sempat menoleh ketika di Stesen Gemas
Namun semakin sayup kemudiannya
Hilang tanpa khabar berita

Aku masih mendengar suara hatinya
Namun aku akur
Dia bukan untuk aku lagi
Dan bukan untuk aku lagi dan lagi



La Tahzan...

Isnin, 17 September 2012


Tahun lepas, dia pernah berkata pada aku, mintalah pertolongan dengan Allah dan bukanlah dengan meminta daripadanya. Kata-kata itu benar-benar menghentak kotak pemikiran aku. Ditambah pula dengan ayat “Janganlah kau tunggu aku, sebab aku sudah berpunya”. Selepas daripada titik noktah itu maka abadilah kenyataan aku tidak akan bersama dengan dia.

Disaat yang sama aku melayang ibarat layang-layang yang terputus talinya. Tidak ada arah untuk menuju, tidak ada tempat untuk meluahkan rasa, tiada kawan untuk menemani, tidak ada kehidupan melainkan menangis dan bersedih. Peristiwa itu sudah pun menjadi sejarah, dan aku tidak akan pernah melupakan dirinya. Aku cuba tetapi kekuatan cinta aku padanya umpama bumi dan bulan. Meskipun sentiasa melihat dan merindui tetapi jarak dan kejadian menjadikan aku kekal sebagai bulan dan dia bumi yang sentiasa penuh dengan kehidupan.

Sehingga hari ini, tuhan tidak pernah memberi aku pengertian akan erti peristiwa itu. Dan aku membayangkan bahawa tuhan tidak akan pernah memakbulkan doa aku mengenai hal ini. Meskipun begitu, doa itu kekal  meniti di bibir aku walaupun tidak akan ada lagi jalan kembali pulang. Aku tercari-cari dimana aku akan berada esok hari. Aku ternanti-nanti suatu hari nanti mimpi aku menjadi nyata dan itulah sehebat-hebat tipu daya syaitan. Memberikan igauan palsu lagi menyesatkan.
Apalah dosa aku sehinggakan tidak ada satu doa yang tuhan ingin aku perdendangkan untuk diperkenankan. Yang tinggal hanyalah nyawa dan jasad yang masih bersatu tetapi tidak bagi jiwa dan raga dalam sanubariku. Kalau aku dikatakan tidak berusaha, kenapa sampai hari ini aku sentiasa berdoa akan sentiasa memilikinya. Aku cuba perbaiki diri, tetapi bukanlah dihadapan dirinya. Cukuplah dia tahu aku sentiasa bersedia untuk dirinya.

Sukar sebenarnya menjadi diri aku. Dan orang lain sentiasa memandang serong atas kepercayaan aku kepada takdir tuhan. Aku sentiasa mengatakan tiada yang mustahil, aku percaya tuhan akan menolongku. Biarpun masa itu aku cuma sekujur tubuh yang terbujur kaku dipembaringan yang sunyi. Takdir dan hidayah tuhan tidak akan pernah berhenti. Begitu juga dengan hasutan dan bisikan syaitan yang Maha Menyesatkan. Tepuk dada tanyalah iman dan bangkitlah dari lamunan. Teruskan langkah dan teruslah melangkah laju agar peristiwa itu akan terus aku lewati tanpa aku menyedari akan pemergiannya.

Hasbunallah wani’malwakil.

Alhamdulillah.

Jumaat Yang Indah

Jumaat, 7 September 2012

Hari Jumaat, hari yang digelar sebagai penghulu kepada segala hari. Hari yang cukup tenang dengan nur dan keimanan yang melembayungi tanah di bumi dan  seisinya.Bumi yang semakin tua dan penuh dengan cabaran demi cabaran. Sebanyak mana manusia itu beriman dan sentiasa bertawakkal kepada tuhannya. Merasa rendah diri dan kecil diatas bumi ini adalah sesuatu yang digalakkan oleh agama. Sudah cukupkah amalan kita ketika berada di atas dunia ini. Sekiranya hati masih lagi ada benci sesama manusia, takut untuk membenarkan yang bathil ataupun apa sahaja bentuk penyakit hati, maka segeralah bertaubat dan mencari kebenaran yang hanya boleh disampaikan oleh Allah.

Memang agama itu berat bagi yang memandang ia suatu yang berat.Tetapi permudahkanlah agama itu dengan mencari kemudahan yang banyak terdapat di dalam agama.Tidak akan ada manusia yang benar-benar mendapat petunjuk dari tuhan melainkan dia khusyuk dan terpengaruh dengan solat yang telah dia sendiri lakukan. Banyak berdolak dalih dan menunggu sesuatu yang tak pasti itu tidak membawa apa-apa erti kepada diri mahu pun orang lain.Tetapi ingatlah untuk bersabar kerana doa orang Islam itu pasti akan makbul dan didengari oleh tuhannya suatu hari nanti.Hatta terpaksa menunggu seribu tahun untuk tuhan untuk mendengar doa kita, tidak mengapa. Itulah yang dinamakan sabar, dan sabar itu melindungi diri dari sifat yang tidak baik dan keji. Cuma perlu berhati-hati dalam memperhalusi niat sabar ini kerana akan tiba suatu ketika kesabaran itu akan semakin memudar dan suram. Disaat ini akan timbul rasa putus asa dan hilang keyakinan dalam diri.

Juga perlu diambil kira akan sikap berperasangka buruk kepada tuhan adalah amalan keji lagi dibenci oleh tuhan. Perlulah tanam dalam diri nilai-nilai yang positif dalam diri supaya kita tidak terjerumus kepada bahaya yang ditiup oleh syaitan yang semakin ramai.Wallahhuallam