.fb_like_box { margin-top:10px; -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background-color:#3B5999; border:3px solid #2B2B2B; margin-bottom:10px; padding:10px 7px; width:540px; } .fb_like_top { overflow:visible; padding:0;margin:0 0 5px; width:349px; height:24px; background:url("https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhqJPOVHMI8DX06YQcMdlDoBFCN-CbyHEtluPZGwzv4GqYFCCLxzfThfReR-V4iKLDjSdkk5_gKR4KUxmkaSpjkASuPIWaEJ9NWJPTxCkH28A9S7Ma8xgp_VIv5eYqr6xRMr2LhGbe8nyA/") no-repeat scroll left top transparent; } .fb_like_button_holder { -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background:none repeat scroll 0 0 #FFFFFF; padding:12px 12px 0 12px; width:515px; height:42px; }

Apa Kata Orang Yang Sudah Jadi Kaya Kerana Ilmu

Khamis, 25 Februari 2010



Kehebatan orang nombor dua terkaya di dunia bukanlah seperti yang kita lihat apa yang dimiliki oleh Pengasas Microsoft Corp., Bill Gates. Warren Buffet mungkin bukan orang terkenal bagi seantero dunia kerana dia hanya menjadi pemilik kepada 65 buah syarikat gergasi dalam pelbagai bidang. Tetapi hasil didikan yang diperolehi dari sebuah keluarga yang sederhana di Ohama, Nebraska United States, Buffet kini mampu melakar nama sebaris dengan Millionaire dunia yang lain.

Beliau bermula pada umur 11 tahun dengan melabur dalam satu unit saham pada usia yang masih belum mengenal ekonomi. Tetapi hasil titik peluhnya dalam bekerja sebagai kanak-kanak penjual surat khabar membolehkan beliau memiliki sebidang tanah ladang yang kecil pada usia seawal 14 tahun. Pada ketika itu semuanya masih lagi murah dan tiada nilai komersial namun hasil ketakjuban beliau menyimpan duit untuk melabur menjadikan impian itu bukan lagi mustahil pada masa sekarang.

Meskipun kini telah bergelar orang kedua terkaya di dunia tetapi beliau masih mengekalkan prinsip iaitu jangan berbangga diri dan jangan terjebak dengan hutang termasuk kredit kad. Beliau sudah berfikiran sejauh itu pada usia belasan tahun dan mula melihat prospek kekayaan adalah bermula dengan perniagaan yang dimulakan dengan duit sendiri tanpa perlu berhutang.Buktinya kini beliau memiliki sebuah syarikat penerbangan sendiri namun tidak pernah berhasrat untuk terbang atau pun membeli sebuah jet persendirian. Lihatlah betapa teguhnya pendirian seorang yang bergelar jutawan.

"Let Us Choose a simpler and smarter way to live..." -Warren Buffet

Arsenal Merudum

Jumaat, 19 Februari 2010

Prestasi Yang Kurang Memuaskan


Kedudukan Arsenal sebagai pesaing hebat di arena Liga Inggeris tidak lagi menjadi ketakutan kepada gergasi bola sepak yang lain. Ini dibuktikan dengan kekalahan Arsenal kepada pasukan dari Portugal iaitu Fc Porto dalam saingan Liga Juara-juara pagi kelmarin. Kekalahan yang dianggap memalukan ini memberi tamparan hebat kepada penyokong Arsenal di seluruh dunia malah seolah memberi petanda bahawa Arsenal masih belum mampu merangkul sebarang piala pada musim ini. Keadaan ini telah berlanjutan hampir lima tahun dan ia merupakan suatu petanda yang kurang sihat kepada pasukan ini.

Meskipun pengurus Arsenal, Arsene Wenger sering menjadi sebutan oleh pengurus bola sepak yang lain sebagai seorang yang pakar dalam percaturan di atas padang tetapi ia masih belum cukup untuk membawa pulang sebarang piala buat masa sekarang. Tambahan lagi dengan gandingan pemain muda Arsenal dengan pemain berpengalaman yang masih lagi main di Arsenal belum menunjukkan reaksi positif. Berbekalkan pemain lama yang di bawa pulang iaitu Sol Cambell, ia masih belum cukup membawa semangat ‘The Old Gunner”.

Cakap-cakap antara peminat Arsenal yang yakin Arsenal mampu untuk membawa masuk seorang lagi pemain handalan yang datang dari sebuah kelab di liga Perancis iaitu Maroune Chamakh. Perpindahan besar yang ingin dilakukan oleh Wenger kali ini menjadikan persoalan besar kepada barisan pemain hadapan Arsenal sebelum ini, adakah mereka tidak hebat dan mengapa mereka masih bermain di Emirates. Itulah punca kelemahan bermain secara total di atas padang kerana ia akan menyebabkan lebih ramai pemain yang akan tercedera dan terpaksa berehat panjang. Selepas berehat panjang ia juga mengakibatkan pemain hilang keyakinan semasa bermain dan risau akan kecederaan lama berulang. Jadi seharusnya Arsenal perlu lebih terbuka dalam melaksanakan corak permainan yang lebih pelbagai dan perlu juga bergantung kepada skil individu untuk memusnah pertahanan lawan.

Selasa, 16 Februari 2010



Tahun Baru Cina dan Sebuah Kisah Benar


Selamat Tahun Baru Cina dan selamat menyambut ketibaan Tahun Harimau menurut turutan takwim cina. Masih terasa lagi kemanisan buah limau yang aku telan sepanjang minggu lepas dan juga kelmarin. Sudah menjadi tradisi berbilang kaum di Malaysia dengan memberikan buah tangan apabila menjelang hari perayaan utama di negara kita, dan semua bangsa dapat sama-sama merasa kegembiraan itu. Tapi dalam masa yang sama masih ada lagi bangsa aku yang masih iri hati dengan kejayaan dan kekayaan yang dimiliki oleh bangsa cina ini. Aku bukan seorang pejuang yang racis tetapi aku cuma ingin mengingatkan bangsa aku sendiri yang semakin lemah dalam perjuangan ini, supaya jangan terlalu mengharap kepada ahli politik untuk mengaut laba dan keuntungan.

Sudah ramai anak melayu yang belajar di luar negara dan pulang membawa rasa bangga kepada keluarga di tanah air dan tidak kurang juga anak bangsa kita yang kaya-raya berniaga di bumi bertuah Malaysia ini. Tetapi kenapa masih mungin ada segelintir melayu yang racis, memang itu peranan UMNO dalam negara ini tapi pejuangan UMNO adalah untuk menjaga hak orang Melayu dalam segenap hal ehwal negara ini, bukanlah sebagai penidak hak golongan asing yang telah taat setia kepada Tanah Melayu. Aku masih kecewa dengan bangsa aku yang masih bertutur bahasa kesat berunsur racism. Sifat dengki itu wajar tapi yang paling wajar adalah melawannya dengan kemenangan yang lebih besar iaitu menguasai ilmu dunia sambil melihat akhirat. Bukan dengan hanya menguasai politik mana-mana pihak yang berjanji itu ini dan akhirnya tidak kemana.

Sebuah kisah seorang lelaki pertengahan usia menghampiriku dan cuba mesra. Melihat gayanya yang bersahaja sambil membonceng motosikal EX5 keluaran 2009 turut sama-sama ke bengkel untuk membaiki motosikalnya. Menurut rupanya tak ku sangka akan kerjayanya dan kehebatan peribadinya. Memang aku mudah tertipu dengan wajah yang berkedut dan tangan yang berurat tegang. Dia asal dari kampung dan juga senegeri dengan aku. Tapi dalam berbicara kadang-kadang dia menghina bangsa lain yang dilihatnya sedang membaiki motosikalnya yang kerosakan. Apa dosa mereka yang bekerja hina dan bersusah payah mencari rezeki dalam keadaan aman tetapi tidak sama warna kulit dan budaya. Motosikalnya masih lagi dibaiki sehingga dia puas hati, tapi mulutnya masih ingin memperlekehkan kuasa yang dimiliki oleh bangsa lain dan keupayaan mereka berjaya.

Dia yang sudah bekerja sekian lama dan kini mampu untuk menyara dua anak masuk ke universiti tanpa bantuan lain masih lagi ingin mengintai peluang menambah keuntungan keluarga yang sudah pun mengecapi kesenangan yang mungkin aku sendiri belum pernah rasa. Adakah golongan ini sebenarnya racis kerana ingin pentingkan diri atau sebenarnya dia sedang bersaing dengan bangsa sendiri untuk terus kaya daripada yang lain dengan titik peluh dan kudrat yang kini dia pegang. Motosikalnya siap dibaiki dan dia bayar dengan harga yang sama dengan orang lain sebelum dia sempat menghulurkan kartu namanya kepadaku. Dia berlalu pergi dalam kelebatan hujan petang itu dan hilang dari pandangan aku. Aku melihat kad namanya sambil mendengar bunyi hujan lebat diselangi suara LRT meluncur laju. Dia bukan calang-calang orang dan gajinya juga sepuluh kali ganda gaji ibu dan ayahku. Bilakah dunia ini akan berhenti berpusing …

Cuti Tiga Hari

Ahad, 31 Januari 2010

Assalamualaikum. Terlebih dahulu ingin saya ucapkan Selamat Menyambut Thaipusam kepada yang beragama hindu dan Selamat Menyambut Hari WilayahPersekutuan.

Cuti tiga hari yang dapat membuatkan aku berehat panjang meskipun masih banyak yang perlu aku lakukan seperti mentelaah buku dan mengulangkaji pelajaran. Di masa yang sempit ini aku mengambil peluang untuk menghidupkan kembali kandungan blog ini. Aku semakin ketandusan tajuk yang menarik untuk mengarang meskipun hari ini banyak topik hangat yang terpampang di dada akhbar. Dari isu politik yang menjadi asam garam rakyat Malaysia hinggalah kepada keputusan liga Super yang kali ini telah menarik minat aku untuk mengembalikan semangat juang Bola Sepak negara kita.

Biarlah aku mulakan dengan isu bola sepak kerana sukan ini merupakan sukan no.1 walau dinegara mana sekalipun anda berada. Pasukan negeri aku sendiri iaitu Pahang telah berjaya mengekalkan rekod kemenangan di laman sendiri di Kuantan bagi menyemarakkan api semangat penyokong skuad Tok Gajah ini disamping menangkis bahawa Pahang dapat bermain di Liga Super atas faktor di bantu oleh Presiden FAM Sultan Pahang. Nyata kali ini aku yakin skuad negeri aku tidak akan berputih mata pada tahun ini dengan sekurang-kurangnya memberikan saingan yang setimpal dengan usaha penyokong mereka. Majulah Sukan untuk negeri Darul Makmur.

Hari ini timbul lagi satu isu yang boleh dikatakan sebagai isu politik iaitu berkaitan wang ihsan negeri Kelantan dengan royalti minyak negeri tersebut. Belum ada negeri di semanjung Malaysia yang berjaya mendapatkan keuntungan berdasarkan royalti dari kerajaan persekutuan di semenanjung kerana tidak ada satu pun pelantar minyak yang berada di bawah jajahan pemerintah mana pun di semenanjung Malaysia melainkan di bumi Sabah dan Sarawak. Isu ini menjadi semakin panas lagi apabila mantan Pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa kerajaan persekutuan wajar memberi royalti minyak yang dituntut oleh kerajaan Pas Kelantan. Ku Li yang masih lagi memegang jawatan Ketua Umno Kelantan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan akta yang dia sendiri pernah terbabit satu masa dahulu. Inilah politik Malaysia, "beri betis nak peha". Apa sebenarnya yang membuatkan Ku Li nekad mengeluarkan pernyataan sedemikian, nyata saya tak layak menegur tindakan beliau. Apa yang saya harapkan bahawa akan ada jawaban bernas daripada beliau kerana beliau bukan calang-calang tokoh yang ada di bumi Malaysia berkelahiran anak jati Kelantan ini.

Mungkin sedikit masa ini telah saya penuhkan dengan kata-kata minda saya yang ingin diluahkan dalam blog ini. Sekian wassalam.


red_ayee

Malam Semalam

Jumaat, 1 Januari 2010


Rasa cepat hari berlalu,
Hari semalam bukan milikku lagi,
Malah dia semakin pergi,
Bersama-sama pari-pari pujaan,
Mungkin masa itu segalanya,
Membawa langkah kini bukan dahulu,

Setitis rasa bangga mengiringi,
Melihat setan merah beraya,
Kerdipan bintang kembali terang,
Tapi disebalik cerita,
Dalam kepekatan malam itu,
Bulan terang gerhana lagi,
Bersembunyi di balik malam,
Menyimpan seribu kisah semalam,
Bisakah sumpahan itu terungkai?

Sinar bulan menemani aku
Malam ini,
Meriah hidup ini dengannya,
Ceria aku dalam tertawa,
Meskipun jiwa teresak-esak,
Kerana semalam tak akan berulang,

Esok,
Kisah ini kembali untuk ditayang,
Kembali berulang-ulang,
Sebuah rekayasa,
Menurut hukum sang pencerita,
Pelik jadi benar,
Jelik jadi bersinar,
Dihiasi muka tanpa wajah,
Pelakon utama menghempas layar,
Jatuh terperusuk dalam sekar,
Kuntum itu kini tidak lagi segar,
Jatuh ke halaman tak berpagar,
Kaku Tegar

Ku abadikan malam ini
Dalam puisi sederhana
Melakar sebuah lagi irama
Indah tanpa senikata
Elok nadanya
Gemersik bisikkannya
Menghiasi tahun baru bersama

Ku selusuri rasa yang hilang
Ku temukan dua bintang
Ku rantaikan tiap pasang
Ku kalungkan sinar terang
Tersebar halus bukan kepalang
Maafkan aku apa yang kurang
Aku bukan pengarang

1 January 2010
red_ayee

Musim Yang Berlalu

Rabu, 23 Disember 2009

Musim hujan,

Turun ribuan air menyembah bumi,

Menghentam manusia yang bersyukur,

Memberi minum kepada tumbuhan,

Memberi dingin kepada dunia,

Hilangkan rasa hangat di dada,

Rasa damai menyelubungi jiwa,

Tersentuh mata melihat ciptaannya,

Terpacul kata Alhamdulillah,

Nikmat Tuhan dari langit,


Musim angin,

Nelayan tidak turun ke sana

Takut dibadai angin yang halus kuasanya,

Membawa bersama air masin ke darat,

Menari-nari bersama ombak,

Mencium pantai dengan rakus,

Meludahkan rasa kepuasan pada manusia,

Ikan-ikan melompat tinggi,

Gembira tak terperi,

Kerana hari ini, Musim ini,

Mereka akan mencari pewaris lagi,

Namun laut juga marah,

Laut bergelora memuntahkan amarah,

Tapi kenapa,

Itu sumber rezeki setiap makhluk,

Nampaknya amarah itu datang dari dalam,

Jauh dari suatu sudut yang tak terpandang,

Rupanya Tuhanmu sedang memberikan peringatan,

Angin bukan asal dari laut,

Malah berarak dari tanah besar gersang,

Mungkin ada yang sedang marah di sana,


Musim Bumi Berarak,

Bukit dahulunya tanah agung si pemerintah,

Kini mampu dimiliki semua juragan liar,

Tanah boleh diganti tukar miliknya,

Sudah ada pedagang tanah,

Tidak lagi takut mereka akan alam,

Terasa akal itu penjana harta dunia,

Sempit memikirkan wang berjuta-juta,

Semua gunung diredah,

Tanah tinggi direndahkan,

Bukit tidak lagi sukar digapai,

Malah sudah tidak jauh dari pantai,

Kini pasak bumi itu,

Dialihkan oleh tangan mereka yang kejam,

Maka akan mereka terima,

Hukuman alam nyata,

Gempa di sini-sana,

Anak-anak kecil ketakutan,

Ibu bapak berpelukan,

Namun ada yang masih mampu ketawa,

Mereka itulah pengkhianat dunia,

Berperang dengan alam,

Menyerang dengan diam,

Mencakar tanah menanam pencakar langit,

Meletupkan jantung bumi,

Sehingga tiada lagi darah merah mengalir,

Asap berkumpul meratapi kerosakan peribadi bumi,

Akhlak dunia kini dinodai,

Sopan alam kini kian pudar,

Maruah tidak berdiri dengan sendiri,


Musim Bersidang,

Mereka manusia pintar,

Mereka tunjang negara,

Mereka ada kuasa dan harta,

Hari ini mereka duduk makan semeja,

Mendengar kata sedih dari dunia asing,

Yang jarang disebut dalam peta,

Selesai makan mereka pulang,

Tiada apa yang difikirkan kecuali kenyang,

Pemuda yang sedang marah disenyapkan,

Bapak-bapak ini punya kuasa,

Tapi mereka buta malah tuli,

Tiada guna lagi merayu,

Keputusan telah ada sebelum kesimpulannya,

Maka pilihlah jalan perang.


23-Disember-2009

red_ayee

Selasa, 24 November 2009



Masih belum terlambat untuk aku berkongsi rasa bangga dengan semua tentang filem "Ketika Cinta Bertasbih". Filem hebat dari Indonesia ini ternyata memainkan perasaan aku ketika aku mengamati filem ini sebanyak dua kali. Meskipun aku tidak pernah membaca novelnya (aku kurang minat novel), nyata gaya penceritaan ini mampu setanding filem dari negara-negara asing yang seringkali mencapai tayangan 'box-office'.

Aku sedang menantikan kedatangan "Ketika Cinta Bertasbih 2" meskipun seolah-olah cerita ini sudah semakin jelas nampak akan pengakhirannya. Ucapan tahniah sekali lagi kepada krew filem dan juga pengarah filem ini yang nyata tidak menghampakan penonton terutama di nusantara ini.

Aku juga berharap akan ada pengarah dan penulis skrip setanding mereka ini di Malaysia, bukan merendahkan negara sendiri tetapi semuanya masih kabur dan tidak menampakkan masa depan. Mungkin karyawan di Malaysia perlu bermula dengan penulisan novel yang kuat naluri bahasanya disamping ditunjangi tajuk yang penuh dengan metafora. Janganlah kita hanya bangga dengan pihak tertentu yang mengawal aliran filem malaysia tak tentu hala.

Saya tahu wang bukan masalah utama, tetapi janganlah karya agung melalui penulisan ini disalahertikan.