.fb_like_box { margin-top:10px; -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background-color:#3B5999; border:3px solid #2B2B2B; margin-bottom:10px; padding:10px 7px; width:540px; } .fb_like_top { overflow:visible; padding:0;margin:0 0 5px; width:349px; height:24px; background:url("https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhqJPOVHMI8DX06YQcMdlDoBFCN-CbyHEtluPZGwzv4GqYFCCLxzfThfReR-V4iKLDjSdkk5_gKR4KUxmkaSpjkASuPIWaEJ9NWJPTxCkH28A9S7Ma8xgp_VIv5eYqr6xRMr2LhGbe8nyA/") no-repeat scroll left top transparent; } .fb_like_button_holder { -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background:none repeat scroll 0 0 #FFFFFF; padding:12px 12px 0 12px; width:515px; height:42px; }

Akhirnya Setelah 9 Tahun

Ahad, 18 Mei 2014



Baru sebentar tadi dilaporkan pasukan Gergasi Utara London, Arsenal atau lebih disenangi dengan gelaran "The Gunners" telah menamatkan penantian Piala Akhir sejak sembilan tahun yang lalu. Namun sebelum dinobatkan sebagai juara akhir Piala FA, Arsenal telah dihukum dengan kealpaan mereka apabila diaibkan terlebih dahulu dengan dua jaringan dalam masa permainan baru berusia sembilan minit. Meskipun begitu gol penyamaan dilakukan oleh The Gunners hanyalah berlaku pada babak kedua. Perlawanan sebenar tamat dengan kedudukan terikat 2-2.

Gol kemenangan Arsenal telah dijaringkan oleh penyerang sensasinya iaitu Aaron Ramsey dalam babak masa tambahan. Dengan itu Pengurus Arsenal, Arsene Wenger telah manamatkan badi tiada sebarang Piala di bawa ke Stadium baharu mereka The Emirates Stadium pada hari ini.
-sumber red_ayee.

Ketakutan Melanda

Isnin, 12 Mei 2014

Nauzubillahhi minzalik,

Kehidupan yang aku sering terbayang ketika aku masih lagi remaja dan masih lagi dibangku sekolah menengah. Kehidupan masa hadapan yang tidak ada hala tuju dan kehidupan yang ditempuhi tanpa boleh dipeduikan oleh orang lain. Itulah salah satu perkara yang membuat aku menangis ketika aku masih cuba melelapkan mata sambil memandang ke siling rumah sambil mengalir air mata.

Tak sangka umurku sudah menjangkau ke usia dua puluh tujuh tahun dan semakin bertambah. Aku harungi hidup zaman sekolah, zaman matrikulasi dan zaman universiti dengan rasa yang bercampu-campur. Kini aku telah berada di zaman dewasa iaitu dunia kerjaya dan keluarga. Dalam setiap zaman yang aku tempuhi mempunyai masa silam yang gelap dan menakutkan dalam hidup aku. Tidak mahu aku menoleh kebelakang kerana lumrah alam kita akan menjauhi ketakutan dan menghampiri keseronokan.

Zaman ini aku sudah mempunyai kerjaya. Meskipun tidak hebat tetapi mampu untuk menyuap mulut aku dengan nasi berlauk dan bersayur sambil mampu menghulurkan sedikit kepada sanak saudara meskipun aku  tenat. Apa yang aku takutkan bukanlah kerjaya tetapi keluarga. Aku mempunyai sebuah keluarga yang kecil dan kami gembira. Cuma kadangkali aku sering merasakan ada yang kurang dalam hubungan kekeluargaan ini. Entahlah aku sudah jarang bersama mereka hanya sesekali pulang ke kampung bagi menjengah mereka. Adik aku sudah punyai keluarga sendiri, sekurangnya dia mampu untuk melepaskan apa yang terpendam dalam diri kepada orang yang dia sanggup pandang dan lihat sepanjang hayatnya nanti.

Tapi aku sudah hilang rasa dan keinginan itu setelah aku bertalu-talu dihenyak dengan ungakapan "maaf saya sudah berpunya", "maaf saya milik orang lain". "maaf aku bukan untuk engkau". Aku tidak pernah akan merasa saat itu lagi kerana kini aku tidak lagi melalui jalan yang sama. Kini terasa aku seolah melayang keudara sambil berpusing-pusing tanpa ada apa-apa rasa.

Pernah cuba untuk jatuh cinta namun kini ia sudah tidak sama, kerana aku sudah semakin tua, aku sudah semakin diam dan senyap. Mentari pagi itu terasa seolah hangat-hangat waktu senja sahaja. Aku semakin lenyap dalam hidup sendirian aku. Aku akan teruska mengatakan "Aku ok, tak perlulah risau pasal aku,"
"Aku nak hidup sendirian kalau boleh". Nada seorang yang terlalu putus harap dengan dunia dan kehidupan yang menghimpit cuma bezanya selepas ini adalah kehidupan sendirian yang sebenar. Orang tua sudah menjangkau masa muda mereka, kini hanya tercari warna pelangi untuk era dunia di alam yang baharu pula. Tidak sama dengan alam-alam yang mereka telah lalui sebelum ini.

Aku sudah puas menangis untuk mereka tetapi "Mama, Abah maafkanlah Along, semua ini sudah takdir keluarga kita". Tidak ada suara anak kecil boleh aku dendangkan kepada mereka berdua, begitu juga adik perempuan bongsu aku yang dengarnya sekarang ini sedang mencarai pengalaman hidup sendiri. Berusahalah kerana Along juga menangis dalam berusaha cuma tidak terlihat bila hati mula berbicara bisu. Doa sentiasa ada dalam bibir ini cuma bezanya penerimaan Tuhan itu tidaklah kita ketahui bila dan waktu penerimaannya. Cukuplah kita tahu mengucap kalimah suci dan mendirikan solat kerana lebih daripada itu adalah kehidupan seorang nabi dan para abid.

Memang sedih bila mendengar perkhabaran kawan-kawan sudah mula mengantar undangan untuk ke majlis walimah mereka, namun apakan daya aku tidak dilahirkan untuk itu. Yang pernah aku harapkan sebelum ini hanyalah sekadar mimpi yang singgah untuk bertamu di dalam hati. Tidak pernah aku terasa dihargai dan menghargai tetapi tidak mengapa, hidup aku adalah untuk diri aku. Tidak akan tertanggung oleh orang yang tidak setara dengan aku. Dugaan yang aku alami cukup hebat, tidak mampu dibayangkan meskipun orang lain akan memandang hidup ini hanyalah salah satu keajaiban hidup. Namun tidak bagi aku.

Ketakutan yang aku alami adalah pertarungan hebat antara aku dengan Tuhan. Aku terasa sudah hilang kedua belah tangan untuk berdoa kerana terasa diri ini tidak dipandang sama sekali. Memang tidak baik bersangka buruk tetapi itu lah perkataan yang boleh aku tuliskan di sini agar ia tidak singgah lagi dalam hati ini. Nauzubillahi minzalik.

p/s Kepada kawan-kawan yang sudah berkeluarga dan akan berkeluarga aku ucapkan tahniah. Minta maaf kepada sesiapa yang mengundang tetapi tidak kelihatan aku. Bukan sombong tetapi diri aku memilih untuk kekal dalam tempurung yang tidak terbelah ini. Inilah kehidupan aku sekarang. Maaflah aku terluka dan melukakan orang yang berada dekat dengan aku. Aku tidak mampu menelan racun kerana pahitnya sudah membuatkan ia keluar dari mulut ini, biarlah kematian terakhir menjemput aku sama ada kamu sedar atau tidak terpulanglah kepada ceritanya.










Bumi dan Matahari

Sabtu, 1 Mac 2014

Kalaulah kau tahu,
Matahari sudah tak seterik dahulu
Malah kian terik dan tandus
Panas, panas dan kepanasan

Bumi yang aku diami
Dulunya tenang aman dan nyaman
Kini terasa kontang
Kering tanpa ada rasa lagi

Aku pernah rasa gembira
Kerna bumi aku syurgaku
Kerna di bumi
Kaulah matahari siang
Dan rembulan malam
Mungkin kau tak tahu

Sehingga saat ini
Aku masih berharap
Sekadar berharap bumi hijau ku
Agar disimbah rahmat hujan mu
Agar kembali tenang

Meskipun jaraknya beribu batu
Bumi dan matahari adalah hidupku
Kau tak pernah ambil tahu
Kerna aku cuma kawan jauhmu

Aku takkan pernah faham isihati mu
Meskipun kau kata pergilah buatku
Jangan menanti suatu yang tak pasti
Kelak merana diri

Aku tidak pernah kemana-mana
Melainkan mencari bumiku
Yang kian tenat dimamah Mataharimu
Kerna aku cuma kawan jauhmu

Aku rindukan Bumi yang dahulu
Bersama Matahariku yang bersinar
Setelah kau kata
Aku cuma kawan jauhmu

Aku mengerti
Namun aku belum mengerti
Mengapa tuhan biarkan aku begini
Di bumi yang sudah tidak hijau lagi

Aku terpaksa lupakan kehidupan
Yang indah waktu dulu
Hanya untuk menyiksa diri
Sama seperti waktu aku tinggal di bumi itu
Sebab aku adalah kawan yang terpaksa melupakan
Semua itu

Kalau lah kau tahu
Aku masih menyintaimu
Mungkin Matahari terik itu akan terasa singkat
Tetapi hukum alam telah dipacu
Mengikut kadar dan waktunya
Semua itu hanya mimpi dahulu

Aku tidak ada hala tuju
Tidak tahu bagaimana mengheret Bumi itu
Agar pulang kembali dalam hidupku
Memulakan semula apa yang sudah tiada
Tetapi terasa amat mustahil kerana
Diri aku masih disini
Melihat Bumi hanyalah kawan jauh Matahari.

Farith Zainaldin
01/03/2014


Maulud Nabi & Cerita Keluargaku

Jumaat, 17 Januari 2014

Bismillahhirrahmannirrahim,

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Tanggal 14 Januari 2014 bersamaan hari Selasa merupakan hari kelahiran junjungan besar Rasulullah s.a.w. Seluruh umat Islam di dunia meraikan hari kelahiran Baginda dalam sambutan Maulidur Rasul. Ia merupakan hari kebesaran bagi umat Islam di serata cerok dunia.

Pada sebelah malamnya sewaktu aku sedang bertugas di pejabat, aku dikejutkan dengan menerima pesanan ringkas dari Mama mengatakan bapa saudara aku, Pak Hisham, telah kembali kerahmatullah pada malam tersebut. Setelah sekian lama mengharungi dunia sendirian, beliau akhirnya telah dijemput Tuhan untuk menghadapnya. Aku masih belum tahu bagaimana keadaan Pak Hisham sebelum dia menghadap Ilahi kerana aku tidak berkesempatan untuk menziarahi hari pengebumiannya. Aku hanya sempat menerima pesanan ringkas dari mama dan menerima panggilan telefon dari Abah mengatakan dia telah pergi buat selamanya.

Satu lagi pemergian adik beradik mama yang hanya berlaku dalam tempoh sebulan. Rasanya baru beberapa minggu yang lalu pulang ke kampung menghadiri tahlil arwah Mak De yang baru meninggal di pertengahan bulan Disember lalu kini, menerima lagi satu pemergian yang sungguh sayu. Memang sebelum ini, Pak Hisham telah mengalami hati bengkak, sehingga perutnya membusung dan dia susah untuk menghadam makanan. Terlalu mudah mereka pergi dek kerana asbab kesakitan dunia. Sudah ketentuan ilahi mereka pergi meninggalkan kehidupan daripada kesengsaraan dunia. Kesakitan yang tak guna untuk diubati melainkan mati. Moga roh Mak De dan Pak Hisham aku itu terus langsung menghadap tuhan dalam keadaan yang tidak sakit seperti yang mereka hadapai ketika di dunia.

Apakah kisah seterusnya nanti, Tok telah melihat satu persatu anak-anaknya meninggalkannya. Semoga doa seorang ibu itu mampu meliputi lembayung langit dan bumi. Ya Allah ampunkanlah mereka yang telah engkau panggil pergi dan tempatkanlah mereka dalam keadaan mereka telah diampunkan oleh Mu.

Hidup Sebuah Rahmat

Ahad, 22 Disember 2013

Assalamualaikum

Pada 17 Disember 2013 baru ni aku telah kehilangan 'Mok De' aku yang aku hormati dan kasihi. Setelah sekian lama menderita sakit kencing manis akhirnya Tuhan telah mengambil nyawa beliau. Semoga penderitaan yang beliau tanggung selama ini terbalas dengan menghadap Tuhan dalam keadaan yang paling mulia. Itulah erti sebuah kehidupan yang dimiliki setiap insan, yang hidup pasti akan mati, dan yang masih hidup perlu meneruskan perjalanan mengikut rentak yang telah dicatur. Al-Fatihah buat 'Mok De'.

Sebenarnya banyak pengertian yang boleh diambil dari pemergian itu. Melihat kepada diri sendiri, adakah sudah aku bersedia untuk menghadap Raja Segala Raja itu. Amalan apa yang boleh aku bawa dan amalan apa yang mampu aku sumbangkan kepada masyarakat setelah pemergian aku nanti. Itulah kehidupan yang perlu kita hargai saat ini. Masa lalu adalah perkara yang sentiasa akan menjauhi diri kita semua dan kematian itu sudah pasti.

Seolah baru semalam 'Mok De' mengunjungi hari graduan aku dan dia antara orang yang sanggup menghadiri hari bersejarah aku bersama dengan 'Tok Mek' yang aku cintai. Mungkin cerita itu adalah kenangan manis pada masa akan datang. Cerita yang perlu disimpan kepada generasi penyambung seterusnya.

Kini yang tinggal hanyalah kepayahan anak-anak dalam mengharungi kehidupan tanpa insan yang bergelar 'Mama'. Bukan semua akan hidup senang tanpa bergantung harap namun semua perlu bangun dalam mendepani hari yang semakin mencabar. Tiada lagi tempat mengadu apatah lagi tempat menumpang kasih dan sayang. Alhamdulillah mereka semua adalah saudaraku yang tabah dan mempunyai cita-cita tinggi dalam hidup masing-masing.

Aku berjanji pada diri selagi aku mampu membantu maka akan terus aku hulurkan biarpun sampai kapan inilah saudaraku di dunia nyata ini. Mungkin di hari mendatang masa dan giliran keluarga aku menghadapi keperitan ini. Biarlah Tuhan menentukan kehidupan kita di dunia ini dengan sebuah Rahmat yang telah Dia tetapkan. Sebagai hamba kita cuma perlu bersyukur dan kekal bersyukur agar semua ini dipermudahkan oleh Yang Maha Kuasa.

Semoga Tuhan mencucuri Roh 'Mok De' dan ditempatkan bersama orang yang mendapat tempat disamping Tuhan serta yang dikasihiNYA.

Rumah Sewa di Lembah Klang

Selasa, 19 November 2013

Hari ni aku rasa terpanggil nak menulis tentang kadar sewa rumah dan harga rumah di sekitar Lembah Klang terutama Bandar Kuala Lumpur. Seperti yang kita tahu pengangguran di Malaysia mungkin sedikit berkurang daripada statistik sebelumnya (tidak pasti). Faktor pekerja dan pekerjaan mungkin ada sedikit penambahan terutama di sekitar Kuala Lumpur kerana semakin ramai menuju ke kota besar ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sudah pasti kepadatan juga akan bertambah, termasuklah bilangan pekerja buruh yang terdiri daripada pendatang asing dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar dan lain-lain.

Apabila jumlah penduduk semakin ramai dan rumah kediaman menjadi semakin terhad. Oleh demikian permintaan untuk pembelian dan penyewaan rumah sudah pasti akan menjadi terlalu mudah dan pantas disambar. Dari rumah kos rendah sehinggalah kepada rumah mewah sudah pasti semua jenis kediaman ini akan menjadi sasaran imigran dari dalam dan luar negara. Disebabkan rumah semakin terhad, maka harga rumah sudah tentu akan melambung naik. Bagi Graduan yang baru memulakan kerjaya selepas dua atau tiga tahun belum tentu lagi memiliki rumah sendiri kerana faktor gaji dan kos kehidupan yang semakin terbeban oleh desakan kerajaan. Sebenarnya kos mungkin sedikit meningkat, tetapi yang memburukkan lagi keadaaan adalah gaya hidup yang semakin menjadi panduan orang zaman sekarang.

Apa yang hendak dibangkitkan di sini adalah kadar sewa rumah. Berdasarkan pengalaman aku, selalunya penyewa akan meletakkan harga sewa rumah tidak akan sama nilai dengan bayaran bulanan yang ditanggung oleh pemilik. Itu apa yang aku tahu sebelum ini atau ia mungkin akan hanya berlaku di kampung atau kawasan luar bandar. Tetapi memandangkan hari ini kebanyakan rumah kos rendah telah dijual dan bertukar tangan kepada pemilik baru yang telah membeli rumah ini berdasarkan kepada kos semasa hartanah. Memandangkan kos pembelian rumah meningkat maka harga sewa rumah patut turut meningkat, tetapi atas faktor kebebasan kewangan yang menghimpit maka tuan rumah yang baru akan lebinh selesa untuk menyewakan rumah mereka melebihi apa yang mereka bayar kepada bank dan mereka menjana pendapatan sampingan. Ini menjadikan situasi tidak adil kepada mereka yang baru mula bekerja dan bercita-cita untuk menyimpan wang bagi memilki rumah sendiri pada masa hadapan seolah menjadi hampir mustahil apabila belanja bulanan untuk sewa rumah sudah jauh berbeza tambahan lagi kos hidup keperluan yang lain turut berbeza. Walaupun kerajaan telah mensasarkan rakyat berpendapatan tinggi maka gaji RM6000 seorang baru dianggap selesa untuk tinggal di Kuala Lumpur. Namun gaji sebanyak itu adalah hanya layak dimiliki oleh golongan berpangkat Pengurus dan ke atas.

Semua cadangan kerajaan itu masih tidak relevan kerana Malaysia tidak menghasilkan produk eksport mereka sendiri dan kita hanya bergantung kepada kebanjiran pelabur asing yang ingin melabur di sini. Sudah pasti mereka akan mengambil kesempatan untuk menggunakan tenaga buruh murah yang mampu berkomunikasi dengan bahasa perantara Inggeris sebagai bahasa perdagangan. Semua orang sudah mula merungut, dan tak lupa juga semakin ramai orang akan menjadi stress kerana terpaksa kerja lebih masa untuk mempeoleh gaji yang sedikit lebih namun tetap akan habis di penghujung hari.

Malas nak bincang tentang soal kos hidup ini lebih-lebih kerana dasar kerajaan akan beubah-ubah setiap kali bertukarnya Perdana Menteri. Ekonomi akan semakin terjejas dek kerana kuasa beli semakin menipis tambahan kerja yang semakin membeban kerana terpaksa kerja lebih dari waktu standard kerana ingin mencari wang saku lebih.Sekian

Ntah Mende

http://ThepaidWork.com/?id=red_ayee

http://bit.ly/1irrCHA