Selasa, 21 April 2009
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
JOHOR BAHRU 20 April - Keupayaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menggembleng dana bernilai lebih RM87 bilion mencerminkan kejayaan cemerlang yang dicapai dalam tempoh 28 tahun sejak pelancaran Amanah Saham Nasional (ASN) pada tahun 1981.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan itu membuktikan PNB berjaya membina satu jenama sendiri dalam industri unit amanah dengan meraih sokongan padu masyarakat bumiputera dan bukan bumiputera.
Menurut beliau, pelancaran ASN itu merupakan permulaan perjalanan masyarakat bumiputera untuk mencapai kebebasan kewangan dalam kehidupan.
Najib berkata, ketika itu masyarakat bumiputera adalah miskin tetapi memberi sokongan padu kepada ASN sehingga dengan wang pelaburan awal hanya RM10 telah menjadikan PNB cukup teguh untuk menguasai syarikat-syarikat strategik negara.
''Dua puluh lapan tahun lalu saya difahamkan terdapat hanya 840,000 pemegang akaun yang melabur dalam 540 juta unit amanah.
''Dengan mengambil kira pengagihan pendapatan yang dibayar melebihi RM65 bilion, saya kira PNB telah banyak membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat negara ini,'' katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 di Padang Plaza Angsana di sini hari ini.
Hadir sama Datin Seri Rosmah Mansor. Turut mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Beliau berkata, sewaktu krisis mata wang pada tahun 1998, menyaksikan pengeluaran hampir RM1 bilion setiap bulan dari skim-skim unit amanah PNB termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Bagaimanapun, keadaan itu semakin baik dan kini PNB menikmati aliran bersih dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sebanyak RM5 bilion selepas menikmati aliran tunai lebih RM10 bilion pada tahun lalu.
Tambah beliau, kelahiran ASN dan unit-unit amanahnya telah mengubah paradigma masyarakat mengenai pelaburan unit amanah ke satu tahap yang tidak pernah terduga.
''Ini adalah suatu pencapaian yang sangat dibanggakan terutama di tengah-tengah ekonomi global yang tidak menentu ini,'' tambah beliau.
0 comments:
Catat Ulasan