Khamis, 1 September 2011
Bismillah hirrahmannirrahim.
Di awal pagi syawal ketiga, dan di Hari Kemerdekaan negara yang sudah berlalu. Dikesempatan ini aku menyusun jari menyembah maaf dan melaungkan Merdeka di dalam hati. Mesti ramai yang sedang bergembira di pagi raya sambil bersalam-salaman bersama keluarga tercinta dan berborak-borak girang bersama rakan lama. Bertambah ceria apabila semua menceritakan tentang kejayaan yang telah masing-masing kecapi. Sanak saudara dan nenek serta atuk menjadi tumpuan di pagi raya yang hening dan mencuri tumpuan setiap mata yang bersinar berkilauan di awal subuh. Mungkin ramai yang bangun awal kerana sudah terbiasa bersahur sepanjang ramadhan.
Ramadhan yang telah pun berlalu dan pagi raya yang suram. Aku begitu mengharapkan doa-doa aku disepanjang ramadhan itu agar tidak diabaikan oleh Tuhan yang disembah dan satu-satunya tempat untuk aku mengadu kasih dan sayang. Biarlah doa itu sampai di hari dan waktu dan tepat untuk dikabulkan, namun masa itu tidak mengenal ajal manusia. Mungkin perasaan aku di pagi raya itu agak sedih, sebab itu aku merencanakan tajuk sayu di pagi raya. Tapi sepanjang tahun 2011 ini memang merupakan tahun yang malang bagi aku kerana berlatarbelakangkan nombor 4 (mungkin ada yang mengikuti pos aku yang lalu mengenai nombor). Aku tak percayakan semua itu, tapi kemana aku pergi semua orang mengatakan nombor empat itu malang. Dan maka terjadilah nasib malang aku yang paling teruk dan mungkin berlanjutan sepanjang tahun 2011 ini.
Raya aku kali ini mungkin terlalu sedih kerana aku tidak berbelanja untuk beli baju raya malah akau merasa malu pada sanak saudara kerana masih belum mempunyai kerja.Aku benar-benar tertekan tapi apakan daya aku cuma ada blog ni dan tuhan untuk aku mengadu. Tambahan lagi tahun ini juga aku terlalu kecewa dengan perempuan dan juga rakan yang rapat dengan aku sebelum ni.Aku bukan sombong dan tidak meminta maaf tetapi aku merasakan kesakitan ini seorang diri dan orang lain bergembira seumpama tuhan itu tidak adil. Aku juga melihat kedalam diri sama ada aku ini bersalah kepada mereka atau memang ini sebuah ujian yang mutlak yang telah termaktub? Kalau kamu tahu yang aku juga menangis tak henti-henti sepanjang malam sejak berbulan-bulan dan aku tidak ada siapa-siapa untuk mengadu hatta dengan insan yang aku sayang. Aku tidak tahu siapakah insan yang aku sayang itu, adakah dia cuma khayalan yang membayangi hidup aku atau dia cuma mimpi yang aku cuba wujudkan. Tuhan tahu segalanya, biarlah tuhan tentukan nasib manusia itu tak perlulah aku mengganggu meskipun tuhan menyiksa aku sehingga aku tidak mampu lagi untuk menadah tangan untuk menepis bala bencana ini.
Bagi aku ini musibah, tak tahu pula kalau kamu menganggap ini semua mainan akalku yang lemah. Orang disekeliling aku begitu pandai memberi kata-kata nasihat sedangkan mereka tidak tahu yang nasihat itu menambahkan sakit dan derita aku yang tidak pernah surut ini. Aku tidak menyalahkan mereka, niat mereka baik cuma mungkin aku bukanlah jenis orang yang suka mendengar leteran "nasihat" dari orang yang tidak pernah merasakan kesakitan ini. Aku menyimpan mohor rahsia aku hanya kepada tuhan dan kepada dia sahajalah aku berserah meskipun aku sudah beberapa kali rasa gagal dan kecewa.
Kali ini raya hanya menyaksikan aku berbaju melayu dua tahun sudah dan berseluar jeans yang aku beli di uptown pada ramadhan yang lalu.Sekurangnya aku masih perlu bersyukur kerana masih berpeluang membeli dua pasang seluar jeans untuk aku sarungkan di pagi raya daripada terus memakai seluar jeans lusuh aku yang tinggal sehelai sahaja yang masih padan dengan pinggang aku yang semakin menyusut. Aku sekali lagi bernada kecewa tetapi memang itu yang aku rasakan, aku hanya berusaha untuk merubah sesuatu yang aku tidak pernah tahu hujung pangkalnya.Aku merindui seseorang yang sering aku pohonkan agar tuhan menerima doa aku, tetapi aku rasa itu cuma ujian tuhan yang ingin memberikan aku harapan palsu agar aku lebih kecewa dan terus menyalahkan tuhan yang hanya aku sembah dan tiada lain selainnya.Aku tidak pernah lihat syaitan tetapi aku merasakan ia sentiasa berada disebelahku seakan aku ini sahabat baiknya. Kalaulah raya tahun aku sudah tiada lagi mungkin aku tidak perlu menangis dan menahan sebak yang terpendam.Tolonglah tuhan bawa aku pergi bersama arwah orang yang telah aku sedekahkan fatihah kepada mereka pagi tadi.
Innalillahi wainnailaihirrojiun
0 comments:
Catat Ulasan