.fb_like_box { margin-top:10px; -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background-color:#3B5999; border:3px solid #2B2B2B; margin-bottom:10px; padding:10px 7px; width:540px; } .fb_like_top { overflow:visible; padding:0;margin:0 0 5px; width:349px; height:24px; background:url("https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhqJPOVHMI8DX06YQcMdlDoBFCN-CbyHEtluPZGwzv4GqYFCCLxzfThfReR-V4iKLDjSdkk5_gKR4KUxmkaSpjkASuPIWaEJ9NWJPTxCkH28A9S7Ma8xgp_VIv5eYqr6xRMr2LhGbe8nyA/") no-repeat scroll left top transparent; } .fb_like_button_holder { -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background:none repeat scroll 0 0 #FFFFFF; padding:12px 12px 0 12px; width:515px; height:42px; }

Pengalaman Adalah Guru Kehidupan

Sabtu, 17 Mac 2012

Pengalaman merupakan guru yang paling baik untuk disambut pada setiap kali hari guru.Kita merupakan murid yang paling baik kerana dapat berguru dengan pengalaman.Pengalaman adalah melihat,merasai dan juga menilai orang dan juga persekitaran yang berada disekeliling kita.Kita merupakan murid tunggal yang akan berguru kepada pengalaman kita sendiri.Pengalaman tidak akan sama dengan orang lain.Boleh jadi kita lebih atau pun mungkin juga kurang daripada orang lain kerana semua itu bergantung kepada apakah jenis pengalaman  yang telah kita timba.


Kita mungkin sentiasa rasa pengalaman kita merupakan yang paling sedikit daripada orang lain.Namun tuhan yang Maha Adil itu telah menjadikan asbab mengapa kita dapat merasakan pelbagai jenis pengalaman.Kita merasakan setiap benda baru yang kita tempuhi itu merupakan suatu bebanan yang tak mampu kita tempuhi dan merupakan pengakhiran kepada semuanya.Rasa malu untuk mengaku pengalaman kita menyebabkan kita terlalu merendah diri, tetapi hakikatnya ia adalah sebaliknya.Apa yang kita rasa malu itu tadi adalah pengajaran daripada pengalaman yang telah kita lalui.Kalau kita telah merasa terkebelakang dalam kehidupan kemudian kita bertemu dengan orang yang telah lebih dahulu di depan mungkin dia tidak merasakan apa yang telah menyebabkan kita ini terlalu lama berada dibelakang dan sentiasa mencari jalan-jalan kehadapan.

Siapa sangka,budak yang dahulunya periang kini menjadi muram dan suram.Budak yang dahulunya lembab kini telah kembali cergas.Namun budak itu masih sama sebenarnya cuma dia telah diberikan peluang oleh tuhan untuk merasa nikmat susah sebelum bertemu dengan kejayaan yang seharusnya.Mungkin pengalaman tidak merupakan aset yang begitu bernilai kerana ia tidak boleh dibandingkan dengan orang yang kita sangka berjaya pada pandangan orang lain.Tapi percayalah,setiap detik kesusahan yang telah menjadi silam itu sebenarnya terasa manis dan akan membuatkan kita tergelak seketika kelak.Akhir kata timbalah seberapa banyak pengalaman untuk menangis dan ketawa selagi  masih ada peluang untuk merasakan kehidupan kerana setiap orang tidak akan menangis dan ketawa pada masa yang sama.



Selamat Hari Wanita

Khamis, 8 Mac 2012

Hari ni aku rasa cam nak menulis mengenai seorang yang cantik bagi aku.Dia seorang pelakon dan juga merupakan bekas pramugari.Aku perasan wajah dia apabila aku terlihat dalam TV1,apabila dia ditemuramah dalam rancangan realiti yang dia sendiri pernah terlibat di dalamnya.Serius aku katakan,aku tak pernah layan rancangan realiti yang disertai dia namun dia kini muncul dalam pandangan hidup aku sebagai seorang yang cantik dan menawan.Mungkin disebabkan aku seorang lelaki dan acapkali terpesona dengan keindahan sementara yang diciptakan tuhan.

Kalau aku melihat perempuan yang cantik itu bukanlah hanya melalui penilaian aku secara mendalam dan langsung mengenal hati budi orang yang aku cakap cantik itu,tetapi dia mestilah boleh dinilai melalui raut wajah dan juga perwatakan yang dia sendiri bawa menurut pendapat aku.Aku memang tidak pandai untuk menilai perempuan atau wanita tetapi naluri seorang lelaki tetap mengalir dalam tubuh aku.Ini adalah beberapa keping gambar Cristina Suzanne ayng cantik pada pandangan aku.Dari segi watak yang dia tonjolkan dalam aksi beliau di dalam gambar menampakkan dia seorang yang "Happy Go Lucky". Bagi aku sifat sedemikian susah nak ada dalam diri seorang wanita yang aku katakan cantik kerana ia terlalu istimewa bagi setiap individu itu.

Aku suka akan seoarang wanita yang nampak ranggi atau lasak daripada mata kasar dan dari segi gaya dan penampilan.Namun ia dilengkapkan lagi dengan wajah yang menawan semua jejaka dan sebagai tambahan peribadi dia tidak tumpah seperti wanita yang malu pada diri dan tidak mampu dipandang sebagai dia cuma hiasan seksual bagi lelaki.Aku telah ketemu beberapa wanita seperti itu namun aku tidak pernah benar-benar terperangkap dalam berbincang dan berbual bersama wanita sedemikian.Bagi aku ini adalah wanita yang unik.Wanita lebih menarik kalau dia berhati-hati kepada semua lelaki dan nampak malu-malu meskipun dia sebenarnya ingin menjadi perhatian setiap mata yang melihat dia.

Aku kagum dengan wanita seperti Cristina Suzanne kerana masih kuat meyakinkan aku bahawa masih ada wanita yang seperti dia cantik dan kena pada perwatakan yang dia bawakan.Bukan niat untuk memuji tetapi ini adalah nukilan ikhlas aku kepada gadis di luar sana yang sedar atau tidak mirip kepada penampilan Cristina.Berdasarkan kepada pengalaman aku,wanita seperti ini sebenarnya ceria pada luaran tetapi dalaman dia tersimpan begitu banyak impian dan harapan yang menggunung tetapi terpaksa dimansuhkan disebabkan dia terlalu beralah kepada takdir dan pasrah kepada apa yang telah ditetapkan dalam kehidupan mereka.Wanita seperti ini lebih banyak redha kepada apa yang hadir dalam hidup mereka kerana mereka merasakan mereka akan menjadi mulia apabila bersyukur dan menerima apa sahaja yang telah termaktub di dalam kamus hidup mereka.

Tataplah beberapa kepingan gambar Cristina Suzanne yang aku ambil dari internet ini untuk kamu semua menilai watak dan menyusunpadankan perwatakan beliau dengan wanita yang telah aku terangkan dalam pengalaman pendek tadi.Bertuahnya kalau aku dapat bertemu dengan wanita seperti dia dan wanita itu juga boleh menerima orang yang benar-benar menyukai dia meskipun tidak mampu ditunjukkan dalam bentuk bahasa badan dan kesopanan.Terpulanglah kepada diri masing-masing.Aku masih di sini mengintai gambar-gambar yang tidak bersuara ini kerana dalam foto ini tidak ada istilah 'tidak' atau 'tak suka'.Semua akan menjadi positif seperti apa yang kita semua selalu inginkan.

p/s: Selamat Hari Wanita



Cerpen 8

Hari ini dia tidak ingin berceloteh tentang kehidupan diri dia sahaja tetapi ingin berkongsi mengenai pahit manis dalam keluarga dia.Hari ini dia selamat pulang ke kampung halaman di Kuantan.Kepulangan yang tidak dirancang dengan rapi, namun dia tetap tiba di Terminal Makmur dengan jayanya.Bertolak dari Terminal Pekeliling pada jam 2.30 petang dan akhirnya sampai ke destinasi yang dituju kira-kira dalam pukul 6 petang.Perjalanan yang hanya mengambil masa 3 jam lebih dan suasana ketika di dalam bas pada hari ini begitu lengang.Dia tertidur keletihan di dalam perjalanan ke Kuantan akibat kurang tidur semalam kerana menonton perlawanan bola sepak yang menyaksikan pasukan pilihan dia gagal untuk menyaingi kekalahan besar sebelum ini kepada kelab gergasi dari Itali.

Setiba di Terminal Makmur dia bingkas turun dan terus menuju ke atas untuk mendapatkan tiket pulang ke Kuala Lumpur empat hari kemudian dari hari ini.Suatu cuti yang panjang sebelum dia memulakan tugas baru di Petaling Jaya.Dia berasa agak risau meninggalkan motor 135LC nya di Terminal Pekeliling sendirian.Dia terpaksa redha dengan keputusan yang dia buat meninggalkan motosikal panas di tengah kesibukan kotaraya Kuala Lumpur.Semoga motosikal dia tidak dipengapa-apakan.Dia dijemput oleh mama yang baru pulang dari kerja untuk turut sama balik ke rumah.Setiba di rumah dia disambut oleh ngiauan kucing abah yang semakin bertambah bilangannya.Semakin sesaklah rumah dia dengan kucing yang pada asalnya hanyalah untuk dibela kerana kasihan akan hidup gelandangan.Setiba di rumah dia bersiap membersihkan diri dan menunaikan solat dan terus menjamu selera akibat kelaparan disepanjang kepenatan dalam bas tadi.

Selesai solat maghrib bermulalah sesi bual bicara dengan mama kerana mengapa dia bertukar kepada kerja baru dan bagaimana keadaanya.Perkara ini telah dia beritahu kepada abahnya pada malam semalam sebelum mengumumkan keberangkatan pulang pada keesokan harinya.Berbual bersama mama adalah perkara yang menjadi kewajiban kepada dia tatkala pulang merapat sembah kepada bonda tercinta.Perbualan dengan mama memang tidak pernah membosankan kerana mama begitu pandai untuk mencungkil pelbagai masalah yang sesuai untuk dijadikan cerita kepada dia.Bermula dengan kisah kerja adik dia yang tidak tetap,keresahan tok di kampung,hinggalah kepada keluarga sepupuku yang lemas dengan karenah menantu.

Semua itu menjadikan dia berfikir sejenak betapa warna-warninya kehidupan keluarga besar yang dia sangka kecil berbanding orang lain.Cerita dari mama kadang-kadang menjadikan dia ingin menangis sendiri.Dia tidak sanggup berkongsi cerita mengenai kehidupan sendiriannya di ibukota yang kekadang menyayat hati kerana mama sudah cukup tertekan dengan karenah keluarga kecil dan besarnya.Abah masih merupakan manusia paling tabah dalam kehidupan dia yang pernah dia kenal.Tapi masa lalu kian meninggalkan kesan yang mendalam pada hati sanubarinya.Tidak tergamak dia ingin berkongsi lagi kisah sedih buat mama dan abah dan berazam untuk cuba menyampaikan seberapa banyak khabar gembira agar hati mereka senang dan sentiasa terhibur.



Cerpen 7

Isnin, 5 Mac 2012

Berita yang berkisar di dalam televisyen dan suratkhabar masih asyik rancak di dalam benak pemikiran dia.Dia susah untuk melupakan sesuatu apa peristiwa yang berlaku dalam waktu yang lepas.Pelbagai keputusan dia ambil demi meneruskan kehidupan dia yang tak keruan.Begitulah perasaan dia semenjak dahulu lagi.Sukar untuk sesiapa untuk meramal perkara sedemikian.Dia hidup dalam dunia sepi dia yang sentiasa penuh dengan kekecewaan masa lampau.Dia tidak langsung berusaha untuk meninggalkan perkara yang lampau melainkan tuhan memberikan dia petunjuk atau asbab untuk melupakannya.

Dia masih terus dengan menulis pelbagai jenis cerita tentang diri dia,namun ia tidak sedikit pun melenyapkan hatta menghilangkan sedikit ramalan lampau.Keadaan sudah menjadi semakin parah dan dia harus mencari alternatif untuk tidak terus dibelenggu kesilapan lalu.Namun dia tetap melakukan kesilapan demi kesilapan oleh kerana dia tidak tahu apa yang baik untuk dia lakukan untuk dirinya sendiri.Semua keseronokan dan kegembiraan dia sudah lenyap padam dalam masa hadapan.Dia benar-benar ingin putus asa dengan apa yang dia mahukan, namun kekuatan itu masih terngiang-ngiang dalam masa lalu dan sukar untuk dilupakan.

Zaman berganti zaman,hari,bulan dan tahun turut sama bertukar.Seolah tiada apa-apa azam baru untuk dia tetapkan dalam hidup yang serba kekurangan itu.Dia cuma ada tuhan untuk menjadi tempat untuk sentiasa berharap dan mengadu masalah.Tapi semua itu mungkin belum cukup dan membebankan hidup dia.Dia tidak layak ada kawan dan teman untuk meneruskan kehidupan dia yang sebegini,dan dia terpaksa mengharungi ini semua dengan perasaan bercampur baur.Tidak boleh dinafikan bahawa dia begitu hampir dengan skizofrenia dan gangguan neuron,namun dia masih tabah memimpin hati dan perasaan untuk tidak mengecewakan orang yang dia cintai.

Emak,abah,adik-adik,nenek dan saudara yang terdekat beliau sahaja yang sentiasa menghiburkan hati dia di saat memerlukan semua itu.Namun dia tetap berada jauh berpuluh batu dari mereka dan terpaksa sedaya upaya untuk melalui semua itu tanpa bantuan siapa-siapa.Bukan dunia yang dia minta tetapi sokongan yang dia tagih dan pertolongan menjauhi semua kegelisahan ini namun takdir telah tentukan segalanya.Dia telah banyak melihat pelbagai jenis takdir dalam hidupnya sebelum ini namun dia masih dikira bernasib baik kerana masih punya keluarga kecil yang sentiasa tidak mengecewakan hari-harinya.Namun keluarga itu tidak akan kekal lama dalam kehidupan dia,dia harus punya keluarga sendiri untuk meneruskan kemandirian nasabnya.Meskipun bukan dari kalangan yang baik namun dia ingin menjadi seorang yang terbaik dalam kehidupan ini.

Susah senang dia biarkan sahaja berlalu dalam kehidupan dirinya,tanpa ada apa-apa kesan dan rasa yang boleh dia tawarkan untuk memulih kembali.Dia membuat keputusan untuk menyendiri untuk sesuatu tempoh yang lama tetapi bukan untuk selamanya.Namun jika takdir berkata demikian,dia harus akur menerima doa yang pernah dia pinta suatu ketika dahulu dan malah lebih dari apa yang dia minta.Pelik tapi benar,masih ada insan sebegini yang punya ilmu namun masih sesat dalam mencari kebahagiaan yang sering dipohon kepada tuhan yang satu.Dia boleh mengalah kepada dunia,tapi tak boleh mengalah dengan keampunan tuhan dan pemberian dariNYA.

Betapa luasnya dunia baru ini tanpa sempadan yang jelas untuk dia berhenti,tetapi semua itu dilalui oleh semua umat yang berada di alam nyata ini.Syaitan dan jin juga turut merasakan semua itu,kerana mereka juga ada hak dalam menghuni dunia yang sudah semakin tua ini.Pasrah,mungkin itu pilihan yang terakhir yang dia bakal dengar dan guna pakai dalam kehidupannya.Mahu atau tidak di harus memandang terus kehadapan bahawa hari semalam sudah semakin jauh meninggalkan dia dan masa hadapan.Apa yang pasti masa hadapan memanggil-manggil dia agar semakain rapat kehadapan.

Cerita kali ini meneruskan kembali perasaan dia yang masih tercari-cari sinar yang sudah dilihat tetapi tidak ketemu jalan menujunya.Doakanlah agar dia sentiasa berada bersama orang yang dia cintai.

Jiwakacaubilaserabut

Khamis, 1 Mac 2012

Otak kembali menggoncang
Goncang ke kiri dan kanan
Ingin ku hentak tapi sakit
Ingin ku biar tetap juga sakit

Hati turut sama melagukan suara
Suara pilu dahulu kala
Apakah masih belum ada yang kena
Hati jiwa kacau bila serabut

Memang sudah tidak ada penawar
Bila tuhan semakin jauh dan menjauhi
Apakah daya doa seorang insan biasa
Ingin merasakan pilu dan hiba tak tentu masa

Bila jiwa kosong minda jadi serabut
Apa yang diinginkan kembali kalut
Nah kau perasaan serabut
Langin cerah kini terasa berkabut

Selain dia mengapa kau tiada rasa
Rasa yang sama kepada dia
Dia cuma manusia biasa
Yang tidak mampu menolak atau menerima

Jangan dipaksa otak yang sudah kusut
Leraikanlah agar sakit itu menyusut
Mungkin bukan semua rasa macam nak tercabut
Ada lagi ingin kembali menurut

Cukuplah masa itu dan yang lalu
Mungkin bukan jodoh yang pergi malu
Zaman di mana kau dan aku
Merasa senang bila lama tidak bertemu

Apalah nasib hati yang layu
Terpaksa dipujuk supaya makin maju
Langkah esok sudah pasti dan tentu
Bulan dan matahari tak mungkin bertemu

Cerpen 6

Ahad, 26 Februari 2012


Bulan Februari dan penghujungnya sudah semakin hampir, dan bulan itu adalah bulan yang unik pada tahun ini kerana ia merupakan tahun lompat pada kali ini.Hanya empat tahun sekali dia dapat melihat di dalam kalendar ada terdapat tanggal 29 haribulan dalam bulan Februari kali ini.Semua itu bukanlah sesuatu yang pelik atau bermakan pada dia kerana hari sentiasa bersilih ganti dan ia akan terus berganti.
Kalau diikutkan peredaran masa dan zaman ternyata pemikiran dia masih kolot dan tak sezaman,dia masih lagi berfikiran seperti orang tua zaman dahulu kala dalam semua aspek kehidupan dia.Dia menilai sesuatu perkara berdasarkan apa yang mungkin orang tuanya berfikir dan ternyata pemikiran sebegitu sudah tidak lagi relevan cuma ia masih mampu menjadi pelajaran dan pengajaran yang terbaik.
Kawan, sahabat dan juga mungkin rakan-rakan sejak zaman dahulu dia kenali kini sudah tidak dia ambil peduli,dia Cuma berada dalam kehidupan dirinya yang sendiri.Dia menyedari sesuatu kelamahan dirinya yang tidak mampu dia ubah iaitu mencari kawan dan teman sejati.Umur semakin meningkat dan diri dia sudah semakin menua.Harapan ibu dan ayah yang tinggi menyebabkan dia seringkali berfikir dalam-dalam sama ada betulkah tindakan dia untuk menyendiri ini suatu yang terbaik dalam hidupnya.Namun ibu dan ayah masih belum benar memahami perasaan dan perangai anak sulungnya ini.Apakah mungkin ada orang luar yang akan cuba betul-betul memahami kehidupan diri dia.Susah untuk dibahas dan mungkin sebab itu dia sering berkelana dan mencari idea-idea baru untuk dia tempuhi dan rasakan sendiri.
Kawan-kawan sudah berjaya dan mungkin juga akan membina kebahagian tak lama lagi,dan dia bakal berterusan sendiri mencari sesuatu yang masih belum pasti.Perasaan ragu kepada Tuhan ini boleh membuatkan rahmat dan hidyahnya bakal tertangguh dan lewat untuk dia teruskan keyakinan dalam beragama.Semakin dia hanyut,semakin dia tidak akan peroleh nikmat yang ingin Tuhan sampaikan malahan dia bakal diuji dengan cabaran yang dia baka l tidak sanggup lihat dan alami.
Dia terasa ingin menangis lagi namun ditahan dan pendam perasaan itu dalam-dalam supaya ia hanya akan keluar pada masa yang sesuai sahaja.Masa bergerak pantas dan dia sekali lagi harus menemukannya kehidupan yang abadi.Jangan berputus asa dan jangan cepat mengalah sering dia bisikkan pada diri meskipun dia sudah tidak mampu bertahan lama lagi.Masa menentukan sama ada dia layak atau tidak terus di alam nyata yang penuh pancaroba ini.

Entah Hapa Apa

Isnin, 13 Februari 2012

Orang suka blog, kau pun suka, orang suka menulis kau pun nak, orang suka membaca kau pun konon suka membaca.HAKIKATNYA kau cuma luar biasa dari orang biasa yang lain, punya keinginan yang serupa tetapi tidak punyai kemampuan yang sama.Begitulah keadaan dunia kau yang orang tak hingin pun ambik peduli.Macam lalang kejap ke kiri dan kemudian sedar sudah ke kanan.Tiada yang tetap dalam hidup kau melainkan kalau kau sendiri telah tetapkan acuannya begitu.

Membaca blog tak sama membaca buku.Blog ini ada begitu ramai penulis dan mempunyai pelbagai jenis cara bacaan dan juga genre mengikut citarasa sang penulis.Kalau membaca buku ia sudah ditetapkan pengakhirannya sebelum kau habis baca lagi kerana sebelum ia diterbitkan sudah tentu ada penyemaknya.Kalau kau nak tulis diari dalam blog, maka hentikanlah niat itu, ia memalukan diri kau dan juga orang yang nak bacanya pun.Kalau kau jenis tak kisah sekali pun, jangan menyeksa ruang maya ini dengan cerita kau yang tak pernah habis-habis.Semuanya negatif dan semuanya sebab menyalahkan orang lain.Kalau macam itu lebih baik kau pergi duduk dalam hutan bertapa dan bersembang dengan makhluk yang ada dalam tu.

Nak nasihat apa lagi, bukannya kau nak dengar pun malah kau pula nak bagi nasihat.Mengata dulang paku serpih, mengata orang kau yang lebih. Kau mengadap komputer kau setiap masa kalau kau berada di rumah dan tak buat apa-apa. Maka jadilah kau seorang yang gila kepada teknologi tak bertempat. Kau tak pernah alami kehidupan sebagai orang normal seperti mana yang kau inginkan dan selalu harapkan. Kau teringin berkeluarga macam orang lain tetapi kau tak pernah bercakap dengan mana-mana manusia yang kau mampu memberikan kebahagian secara benar. Malah kau menyeksa orang lain dengan perasaan benci kau dan juga ego kau yang tak tahu mana letaknya. Akhirnya kau merasa tertekan dan sakit hati tak sudah-sudah. Bilalah kau akan sedar dan menyedari bahawa meskipun kau menulis di ruang maya, tetapi hakikatnya kau perlu menghadapi realiti yang kau tak mengerti langsung.

Kau selalu kata hidup umpama mimpi indah, padahal kau tidak pernah pun bermimpi yang indah-indah malah kau tak merasa pun nikmat mimpi dalam dunia ni. Semua tu tuhan nak bagi kau rasa bahawa dunia ni tinggi ke rendah. Biarlah kau nak melayan sangat ego kau yang ntah  ke mana hala tu. Kau campakkan segalanya ke tepi demi mencari kehidupan yang hakiki kononnya. Pergi jahanamlah semua tu, auta melebihi apa yang kau fikirkan. Berpijaklah di bumi dan nyata dan kembalikanlah roh yang telah lama meninggalkan tubuh kau tu. Rawatlah selagi masih ada waktu. Mak ayah kau terlalu mengharap yang bukan bukan-bukan dari kau tetapi cukuplah kau matang menghadapi dunia ini dengan penuh rasa syukur dan gembira walaupun kau menangis sepanjang hayat kau. Tiada siapa yang dapat mengubah nasib siapa-siapa melainkan kau benar-benar berharap kepada yang Maha Kuasa.

Kalau kau mencari kerja atau mencari wang tapi sebenarnya kau masih berhutang dengan semua orang dan tidak pernah makan lebih dari apa yang sebenarnya telah Dia tetapkan buat kau. Mengakulah atau kau nak orang lain memperakukan kesahihan itu?Entah hapa apa lah kau ni.