Ahad, 6 September 2009
“Ganyang Malingsial” Teriak Mereka
Itulah kata-kata yang menjadi teriakkan warga Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini tambahan lagi setelah isu pemilikan Pulau Ambalat yang menjadi rebutan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.
Kini rakyat mereka menimbulkan kembali isu lama iaitu lagu ‘Negaraku’ yang diambil dari lagu Terang Bulan yang dikatakan berasal daripada Indonesia. Begitu juga dengan lagu Rasa Sayange yang dikatakan hak milik mutlak republik itu. Kenapa isu kebudayaan ini diperbesarkan sedangkan mereka juga digelar melayu dan bahasa yang mereka gunakan juga boleh difahami di negara-negara nusantara yang lain. Kenapa negara Malaysia ini yang ingin dijadikan sasaran kemarahan mereka, kenapa tidak melibatkan Singapura mahupun Brunei. Sedangkan negara-negara ini dahulunya pernah berada di bawah satu situasi yang mana dijajah oleh bangsa asing.
Tidak ingatkah mereka bahawa pertelingkahan di negara berjiran ini mencuri tumpuan negara kuasa besar untuk campur tangan. Semua ini retorik penjajah dahulu, masakkan Inggeris dan juga Belanda bersetuju untuk menukar tanah jajahan mereka hanyalah sekadar untuk mengelirukan bangsa Melayu yang pada ketika itu tidak bersatu padu menentang penjajah malah dilagakan sesama sendiri.
Indonesia begitu bangga menyatakan pejuang kemerdekaan mereka lebih dikenali di dalam sejarah dunia dan mereka gah melaungkan mereka lebih dahulu menempa nama untuk meraih kemerdekaan. Penjajah pun berlainan, inikan pula tanah yang dijajah itu boleh dimerdekakan berdasarkan siapa yang lebih kuat semangat juangnya. Tambahan lagi bilangan penduduk yang jauh berbeza untuk melancarkan serangan pembebasan bangsa ini tidak diambilkira untuk dijadikan fakta yang berasas.
Malaysia hanya bermula selepas Melaka dan Tanah Melayu, kemudian barulah muncul kemasukan Sabah dan Sarawak yang ingin setia kepada Tanah Melayu. Inilah cabaran yang patut diselusuri rakyat Malaysia yang perlu menjatidirikan bangsa Cina dan India. Semuanya nampak elok meskipun ada bangsa yang merasa tersepit dihimpit, tetapi mereka tetap dapat merasa apa yang kami rasakan.
Kejayaan demi kejayaan ditempuh setiap bangsa merdeka dan perlu dibayar dengan keharmonian seantero warganegara. Tetapi tidak semena-mena ada negara lain yang kurang senang dengan kemampuan negara kerdil ini di semenanjung timur dan dituduh tidak punya karya agung yang dicipta melainkan dituduh maling (pencuri) oleh negara mereka.
“Takkan Melayu Hilang Di Dunia” meskipun mereka dicerca bangsa seangkatan.
Jangan jadi bangsa yang mendengki saudaranya sendiri, kerana Tuhan murka sikap sebegitu hina. Jadilah golongan yang sedikit itu yang mana mereka lebih bersyukur daripada apa yang mereka perolehkan. Kita berkongsi waktu siang dan malam yang sama panjang tetapi kita jarang melihat kasih sayang yang dipancarkan seikhlas ikatan pertalian sedarah. Sekiranya itu semua sudah tidak wujud lagi dalam diri, maka ungkapan ‘maaf’ adalah satu perkataan yang begitu sukar dan terpisah.
Oleh: red_ayee
0 comments:
Catat Ulasan