.fb_like_box { margin-top:10px; -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background-color:#3B5999; border:3px solid #2B2B2B; margin-bottom:10px; padding:10px 7px; width:540px; } .fb_like_top { overflow:visible; padding:0;margin:0 0 5px; width:349px; height:24px; background:url("https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhqJPOVHMI8DX06YQcMdlDoBFCN-CbyHEtluPZGwzv4GqYFCCLxzfThfReR-V4iKLDjSdkk5_gKR4KUxmkaSpjkASuPIWaEJ9NWJPTxCkH28A9S7Ma8xgp_VIv5eYqr6xRMr2LhGbe8nyA/") no-repeat scroll left top transparent; } .fb_like_button_holder { -moz-border-radius:10px 10px 10px 10px; border-radius:10px; background:none repeat scroll 0 0 #FFFFFF; padding:12px 12px 0 12px; width:515px; height:42px; }

Sekolah Cuti Hari Ni

Rabu, 25 Mac 2015

Puisi yang tidak ingin difahami
Bukan pula untuk memberi fahaman
Tidak minta dibaca
Berulang kali sebelum tidur

Bukan pula sebuah doa
Kerna doa di dengar hanya kepada pencipta
Sekadar coretan malas
Tanpa usaha yang jitu

Hilang arah, punca dan halatuju
Bukan sebuah teori sains
Bukan pula eksperimentasi gagal
Bukan buat guru

Sudah tahun keempat
Entah tahun ke berapa
Akan aku menulis begini
Tanpa rima yang riang

Gagal hanya tahu setelah bersusah payah
Tapi sekadar tidak cemerlang
Dalam subjek yang tiada guru pengganti
Setelah cuti semester yang panjang

Buat ibu dan ayah
Aku terasa malu untuk berhadapan
Memulangkan buku laporan merah berdarah
Tertumpah pekatan sirap
Hingga tidak kelihatan tulisannya

Apa yang tertulis itu tidak pernah silap
Tapi cukuplah tahu dari riak muka
Yang kusam tidak terurus
Yang merah terasa malu
Yang biru terasa sakit yang tertahan

Gagal bukan untuk selamanya
Cuma tidak mendapat peluang mengulanginya
Tapi ini sebuah ujian lisan bukan penulisan
Tiada markah untuk tulisan indah
Tiada markah untuk hati yang kosong

Termangu memikirkan hari esok
Akan ada lagi ujian ini
Tetapi tidak sanggup terhutang masa
Dengan si pencatat masa

Biarlah loceng pulang ditunggu
Walau masa itu belum tiba
Sekadar menikmati bekalan sendiri
Bekalan yang tidak pernah kenyang

Waktu silih berganti
Guru tetap tidak ada untuk ujian esok
Tidak ada nota ringkas yang berjela
Tidak ada meja kerusi untuk belajar

Di setiap penjuru kelas terpampang sebuah wajah
Lagi dihindar, lagi jelas menjelma
Ditutup mata tetap menerpa
Biarlah selagi masa berdetik
Jantung kekal tergantung di sini

Tiada kata boleh diungkap
Meski dalam naluri begitu banyak pertanyaan
Siapa yang ingin menjawab
Terasa belajar tanpa siapa disisi

Itulah indahnya dunia aku
Sunyi tanpa bunyian
Dihalang dari melihat
Tetapi tidak ditegah untuk memikirkan
Atau terus terbayang-bayang

Semalam terasa baru sahaja berlalu
Masa lalu juga masih terasa semalam
Belajar menjadi bagus
Mencari keyakinan dalam diri
Untuk berhadapan rintangan

Perintang itu boleh laras
Tidak diketahui siapa mengubahnya
Diri sendiri atau yang lain
Akan sentiasa ia ada disana

Loceng masih belum berbunyi
Tetapi aku kekal menunggu dengan sabar
Masa tidak pernah berjanji untuk terhenti
Matahari juga tahu bila waktu ia pergi

Biarlah malam itu sebagai penenang
Meski ada sedikit cahaya rembulan
Terpancar dari celahan dahan melintang
Aku tertunggu loceng itu

Janganlah siang muncul lagi
Selagi tiada kata pemutus
Antara aku dan pencipta
Tercari aku suluhan lampu sebagai
Teman sementara

Janganlah dibaca lagi nota yang tiada tulisan
Tidak ada makna untuk difahami
Tiada rujukan untuk dipandu
Cukuplah menikmati masa itu
Tiada siapa akan melarang

Kalaulah doa aku termakbul tadi
Mungkin sekarang aku sudah tersenyum
Biarlah mungkin bukan rezeki aku
Yang duduk tersimpul malu
Tidak senyum tidak ketawa
Air mata sedikit tersesar
Bila kesakitan kembali\

Melanglah longlai aku pergi
Menuju kepada tempat tanpa navigasi
Sesat atau tidak, tidak penting lagi
Aku telah lalui jalan itu sebentar tadi
Kini aku ingin ke jalan yang lain
Jalan yang terpaksa aku pilih
Tidak pernah dilalui oleh orang lain
Beza, memang berbeza
Jalan tanpa tepian
Tiada pula penghuni
Cukup penat aku akan berhenti
Dan teruskan perjalanan lagi.
Lagi
Lagi
Dan lagi...













Penulis:
red_ayee
Masa:
9:14PM
Tarikh:
25/03/2015
Tempat:
Heritage C.


Terkilan Dengan Pemikiran Satu Hala

Jumaat, 26 Disember 2014

Dalam beberapa hari ini, negara Malaysia terutama negeri yang ditimpa bencana bah terburuk pada tahun ini dirundum kesedihan dan kedukaan. Namun sikap prihatin rakyat pelbagai bangsa ini disulami rasa belas dan ehsan sesama manusia dalam melakukan pelbagai misi kemanusiaan secara sukarela mahupun individu. Pelbagai pihak mahupun badan kerajaan, individu mangsa, keluarga mangsa dan badan bukan kerajaan serta semestinya pasukan penyelamat bertungkus lumus memberikan bantuan dengan kadar yang mereka mampu dan usahakan.

Kejadian banjir di kawasan pantai timur di penghujung tahun adalah biasa cuma yang membezakannya antara tahun sebelumnya adalah bilangan manusia yang menghadapinya. Bagi sesetengah negeri di pantai timur ada negeri yang menerima bencana bah yang terburuk dalam tempoh beberapa dekad dan ada pula yang mengalami bencana sedikit teruk dari tahun sebelumnya. Di Kelantan dilaporkan mangsa banjir meningkat melebihi 100,000 orang diikuti Terengganu dan Pahang. Namun ia turut membabitkan beberapa negeri di pantai barat dan utara secara serentak memandangkan cuaca sudah lagi tidak mengira masa dan ketika.

Yang menjadi persoalan hangat di laman sesawang dan media sosial lebih berbentuk keluhan kepada pemimpin yang paling ramai dibenci oleh rakyat marhaen di Malaysia dan pakatan Kerajaan yang senantiasa menjadi bahan ejekan dan cemuhan rakyat ini. Sepatutnya media sosial digunakan untuk mempercepatkan pertolongan dalam bentuk maklumat dan pengumpulan dana serta bantuan berbentuk kebendaan kepada mangsa banjir ini. Namun yang berlaku adalah sebaliknya, malah mereka yang tertentu dihentam secara nalar yang difikirkan oleh individu yang sememangnya ada perasaan kurang senang itu.

Meskipun ada kerajaan yang zalim di atas muka bumi ini namun bagi sebuah negara Islam masih belum ada kerajaan yang terlalu kejam dan menidakkan hak rakyat yang sepatutnya. Pemikiran golongan satu hala ini perlu dikikis kerana ia akan menemplak mereka yang tidak bersangkut paut dengan kebencian yang tidak boleh diterima oleh sesetengah golongan di negara kita ini. Apa yang sepatut dilakukan sekarang dilakukan apa yang patut diutamakan dahulu iaitu menempatkan mangsa banjir ke kawasan yang selamat dan mencukupkan keperluan apa yang sudah diterima melalui pelbagai sumbangan dan bantuan.

Artikel ini lebih berbentuk untuk menyatu padukan mangsa dan bukan mangsa banjir dan bukanlah selain daripada itu. Ini bukan masa untuk menuding jari siapa yang kena ada dan perlu pertama sampai memberikan bantuan. Mungkin ada mangsa yang masih belum diselamatkan dan terpaksa menghadapi saat paling getir dalam kehidupan ketika ini sudah tidak memandang siapa yang pertama menghulurkan pertolongan kepada mereka. Nyawa lebih diutamakan tidak kira mangsa atau pun pasukan yang memberi pertolongan.

Diharapkan rakyat Malaysia bersatu hati dan tekad memohon pada Allah s.w.t agar diringankan kepayahan yang menimpa ini. Yang menjadi mangsa terdiri dari golongan susah dan janganlah ditambahkan lagi kesusahan sehingga mereka tidak lagi mampu menanggungnya.

#Pray4MangsaBanjir
#Pray4Perpaduan
#Pray4Keselamatan

26 Disember 2014, Jumaat.

Susah dan Disusahkan

Semalam (23Dec2014) aku ambil keputusan untuk pulang ke rumah mama dan abah di Kuantan setelah sekian lama tak pulang ke sana. Sepanjang perjalanan pulang melalui lebuhraya pantai timur aku ditemani langit mendung dan gerimis dan kadang-kadang hujan lebat yang berterusan. Aku bergerak ke Kuantan lebih kurang dalam jam 3 petang dari rumah aku. Niat asal untuk pulang pagi tetapi disebabkan malam sebelumnya aku bertugas malam maka terpaksalah aku lelap terlebih dahulu bagi mengelakkan mengantuk semasa memandu. Sedar-sedar jam dah pukul 2 petang maka kelam kabut aku bersiap untuk pulang ke rumah halamanku.

Aku tiba di halaman kuarters rumah aku tepat jam 7 petang dan azan maghrib sudah mula berkumandang. Sesampai rumah terus aku bertanyakan pada mama ada apa-apa untuk makan? Lapar betul lebih seharian tak makan maklumlah dah hujung bulan. Malam tu aku makan dengan lahapnya, sampai senak perut aku balun nasi tu sampai habis. Nasib baik tiada siapa perasan aku tengah kelaparan macam jin. Malam tu aku berehat sahaja di rumah kerana  aku tidak ada banyak masa untuk kerap dan berada lama di rumah orang tua aku kerana pada hari krismas nanti aku terpaksa pulang juga ke KL disebabkan tugas.

Malam tu aku ambil kesempatan berbual dengan mama seperti biasa. Mama tidak pernah bertanya pada aku bila aku akan kahwin semenjak aku sudah stabil dan bekerjaya ni. Fuhh lega! Sebenarnya aku tahu yang mama pun tahu aku punya beban yang besar untuk tinggal di KL. Dia tak pernah tahu sama ada aku susah atau senang di KL tetapi dia tahu aku pandai jaga diri dan boleh diharapkan sebab aku anak sulong harapan mereka. Mama dan abah tidak pernah harapkan duit gaji aku walaupun aku kekadang terpaksa menyusahkan mereka sedikit namun tersangat sedikit apa yang aku harapkan duit dari mak bapak aku.

Namun bebanan yang diharungi oleh mama dan abah bukanlah dari mereka sendiri tetapi dari keluarga mama sendiri. Sekarang ini terutamanya mama menjadi tempat bergantung harap oleh adik beradik sendiri dan anak-anak saudara untuk meneruskan hidup. Aku kasihan dengan mama, namun dia tidak pernah terfikir untuk berhenti menolong. Keluarga mama hanya tinggal beberapa orang sahaja lagi yang masih hidup dan semuanya tidak bekerja dan mempunyai masalah yang akan membebankan mama. Dan yang pasti bebanan yang paling hebat adalah dari faktor kewangan. Abah tidak ingin masuk campur dalam hal keluarga mama kerana dia telah bertanggungjawab penuh dalam keluarga aku sendiri. Itu lebih penting.

Kalau dikenangkan balik aku rindu pada zaman aku bersekolah dahulu. Setiap kali tiba cuti sekolah abah tidak pernah 'miss' untuk bawa kami bercuti dalam semenanjung. Biarpun ia percutian bajet namun ia memberikan ketenangan kepada semua terutama kepada abah yang terpaksa bekerja dalam suasana dikelilingi penghuni penjara dan staffnya.

Malam tu aku berbual dengan mama hampir ke pukul 2 pagi. Mama sudah biasa tidur lewat meskipun besok dia terpaksa bertugas. Sebenarnya dia menanti kepulangan abah aku yang terpaksa 'stand-by' bagi memberikan bantuan kepada mangsa banjir yang dijangkakan akan bertambah nanti. Musim banjir sudah sinonim di sekitar tempat aku tinggal namun di dalam kuarters aku kami tidak pernah terkena tempias itu Alhamdulillah.

Malam tu aku terfikir akan nasib keluarga aku. Kami tidak senang, namun kebahagian yang ada belum mampu memberikan kegembiraan kepada kami sekeluarga. Tidak mengapa, aku percaya Tuhan ada perancangan yang maha hebat untuk kami sekeluarga.Amin.

COMMUNITY SHIELD DAN ARSENAL

Isnin, 11 Ogos 2014

ARSENAL & COMMUNITY SHIELD

Setelah berbelanja hampir 60juta pound pada musim baru ini, Arsenal membuktikan mereka bakal memberikan saingan pada musim ini setelah menewaskan Manchester City pada perlawanan untuk merebut Community Shield.

Jaringan awal pada minit 21, daripada pemain bertubuh kecil, Santi Cazorla telah menghangatkan kem penyokong The Gunners. Pemain ini yang mendapat umpanan cantik daripada Sanogo tidak mensia-siakan peluang dengan menjaringkan gol pertama. Pemain “katek” ini tidak ada masalah untuk menjaringkan gol dari mana-mana sudut terbuka kerana beliau mempunyai kelebihan untuk melakukan rembatan jarak jauh denga kedua-kedua belah kakinya.

Gol kedua pula dijaringkan oleh pemain muda  Aaron Ramsey pada waktu perlawanan berusia 42 minit. Pemain ini memang diketahui memang cukup sinonim dengan corak permainan Arsenal sejak dahulu lagi dengan menerima hantaran satu dua juga dari Sanogo. Meskipun tidak menjaringakan  gol namun Sanogo tetap beraksi cemerlang di bahagian hadapan dengan bertindak sebagai target man di depan gawang gol. Beliau yang mempunyai ketinggian 1.91m tidak ada masalah untuk melihat rakan pasukan yang lain dibelakangnya sebelum memberikan hantaran untuk rembatan.

Babak kedua bersambung, setelah Sanogo digantikan dengan penyerang muda berasal dari Perancis, Olivier Giroud memastikan kemenangan milik skuad Arsene Wenger itu melalui lambungan jarak jauh menewaskan penjaga gawang Manchester City, Willy Caballero.

Kemenangan ini dianggap mudah disebabkan Manchester City tidak menurunkan kesemua pemain berstatus bintang mereka dan mempertaruhkan pemain yang baru dibeli untuk menerajui pasukan utama ketika menentang Arsenal. Namun Pengurus Manchester City, Pellegrini pasti hanya ingin bermain tarik tali dalam perlawanan pembukaan ini yang mungkin sekadar perlawanan memanas badan.
Mereka sudah pasti mensasarkan kejuaran bermain dalam Liga Juara-juara Eropah yang masih belum dikecapi oleh pasukan yang dimiliki oleh Sheikh Mansour ini.



Sekali lagi diucapkan tahniah kepada pasukan dan penyokong Arsenal kerana telah berjaya membawa koleksi Piala untuk dihadiahkan untuk kenangan kepada Stadium Emirates.

Pemecatan TS Khalid daripada ahli PKR dan kini berstatus MB Selangor Bebas

Ahad, 10 Ogos 2014

Tan Sri Khalid Dipecat

1. Tan Sri Khalid telah dipecat keahliannya daripada Parti Keadilan Rakyat dan sekaligus diminta untuk   
    melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
2. Beliau sebaliknya menerima itu dengan redha dan hanya akan mengulas lanjut tentang jawatan MB
    Selangor hanya apabila Mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor (11 Ogos 2014) selesai bersidang.
3. Tan Sri Khalid juga membidas tindakan parti yang memecatnya kerana ia merupakan bertentangan
    dengan perlembagaan partinya itu. Malah tidak akan bertolak ansur dan akan mengenakan  
    tindakan undang-undang.
4. Sebelum itu Presiden dan Mursyidul Am Pas telah menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Tan
    Sri Khalid dan memberi sokongan padu kepada beliau.
5. PAS juga berhasrat untuk keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan
    sebab pemecatan MB Selangor itu. Mereka tidak kisah walau terpaksa berjuang bersendirian jika
    keluar dari PR sepertimana dahulu mereka tidak bersefahaman dengan BN dan Semangat 46.
6. Namun PAS belum menetapkan pendirian mereka sehinggalah mereka yakin akan sebab pemecatan
    tersebut.
7. Namun jawatan Menteri Besar Selangor tetap akan kehilangan Tan Sri Khalid kerana pemecatan telah
    berkuat-kuasa serta merta sejak 10 OGOS 2014.
8. Diharapkan agar penyokong kepada mana-mana Parti Pakatan Rakyat tidak terburu-buru dalam
     menjatuhkan hukuman ke atas pimpinan tertinggi mereka.
9. Malah seharusnya penyokong sedar akan bahawa mana-mana Parti di Malaysia ini sentiasa ada
    agenda dan rancangan yang bebeza-beza tetapi mempunyai halauan yang sama iaitu menuju ke
    Putrajaya.

Sekian.

Rasis Tidak Baik Untuk Kesihatan

Khamis, 24 Julai 2014

Ancaman Rasis Kembali Menular
                Sambil aku berfikir selepas sahaja bersahur dan solat Subuh, teringat akan beberapa rakan di facebook yang sejak kebelakangan ini menunjukkan status berbaur rasis. Sudah tentu kawan aku adalah bangsa Melayu. Kejadian ini sedikit melonjak naik rentetan daripada kes “CDM 25” Kiki Kamaruddin yang melempiaskan kemarahan dia terhadap “Uncle Sim”. Ada desas desus menyatakan Uncle Sim terlebih dahulu melemparkan kata-kata berbunyi  rasis. Semua itu aku cuma lihat melalui catatan status terkini secara rambang di facebook.
                Tambahan lagi, baru-baru ini pesawat MAS MH17 baru sahaja ditembak jatuh oleh puak pemisah dari Ukraine-Rusia. Ada rakan yang acapkali menyatakan dia seringkali terdengar perbualan yang menyalahkan jututerbang MAS itu (Lelaki Melayu) mengikut laluan yang salah semasa kejadian itu berlangsung. Sekali lagi isu rasis dibangkitkan kerana kebanyakan juruterbang Malaysia Airline adalah Melayu. Lalu aku mula terfikir sejak beberapa hari lalu untuk menulis artikel ini.
                Sebenarnya isu perkauman tidak pernah padam di Malaysia. Tiada siapa yang benar dalam menyelesaikan masalah lapok ini. Tepuk dada dan tanyalah selera. Pada pandangan aku, orang yang bercakap itu berada dalam situasi yang salah, masa yang salah, tempat yang salah dan orang yang salah. Bias adalah perkataan yang sesuai untuk digunakan kerana tiada siapa yang boleh memihak kepada kedua-dua masalah rasis ini.

                Kesimpulannya adalah jangan terlalu cepat menilai apa yang didengar dan jangan pula terlalu cepat untuk menuduh seseorang yang lain itu dengan fitnah ringkas. Kalau orang Melayu itu Islam yang benar maka pertimbangan yang digariskan oleh Agama Islam itu lebih tinggi makomnya.

Lebih Ramai Dyana Sofya dan Rara Othman

Ahad, 20 Julai 2014



Tertarik dengan tajuk yang cuba dikupaskan oleh penulis dalam blog mykmu.net yang cuba untuk membawakan idea tentang teknik politik baru DAP. Apa yang dilabelkan sebagai tajuk di atas adalah nama dan muka baru pemudi dan barisan pelapis yang direkrut oleh DAP secara umumnya untuk menjadi calon pada Pilihanraya yang akan datang.

Cantik, muda dan berperwatakan mudah mesra dengan ramai golongan masyarakat, membuatkan Dyana Sofya dan Rara Othman menjadi penghias dada akhbar tempatan baru-baru ini. Bagi golongan lelaki tidak kira apa peringkat umur dan status mereka, dengan melihat wajah dan keterampilan Dyana  dan Rara mampu menggoncangkan pertimbangan mereka dalam hal politik.

DAP sudah tidak mampu untuk melawan golongan penyokong tegar UMNO yang rata-rata berumur dalam lingkungan 40 tahun ke atas. Namun mereka mendapat sokongan ramai dari pemuda-pemudi yang berumur bawah dari usia tersebut. Golongan muda ini telah dibesarkan tanpa melihat ancaman politik sebenar yang berlaku di Malaysia. Golongan muda lebih bebas dengan kehidupan mandiri dan melihat peluang yang terhidang selepas mereka membuka mata untuk ke alam dewasa begitu sempit dan seolah tiada peluang untuk menjadi maju dan kaya-raya.

Dengan memancing semangat dan emosi golongan muda, nyata DAP Berjaya membawa sentimen baru bagi pengundi muda. Bak kata pepatah “Tiada rotan, akar pun berguna juga” itulah ungkapan yang sesuai diberikan dalam situasi yang menjadi fenomena ini. Penulis berjaya mengaitkan antara kepercayaan , kejujuran dan persona yang telah diwujudkan. Perancangan sebegini bukanlah sesuatu yang baru, namun jika ianya diterima maka taktik sebegini masih digunapakai.

Tidak mengapa kerana dunia ini berputar pada arah yang sama dan masih bertemu di titik persilangan yang sama. Apa yang pernah dilakukan oleh orang lain maka tidak mustahil untuk diri sendiri ingin mencuba melakukan hal yang sama.

Permasalahan cuma akan timbul apabila semua ini selesai dan berlalu. Selagi ada golongan cerdik pandai yang mampu mengeluarkan idea dan taktik berkesan maka dunia akan meneruskan putaran.
Barisan Nasional cuma dihuni oleh ahli politik lama dan tua. Mereka masih belum mampu membiarkan sepenuhnya  golongan muda campur tangan. Tambahan lagi golongan muda dalam UMNO bukanlah cendekiawan yang aktif dan berkreativiti tinggi.

Jadi siapa yang dahulu mampu membawakan sentimen dan berjaya memainkan emosi rakyat maka mereka akan diterima tidak kira siapa atau apa latar belakang mereka. Malaysia jadi sebegini kerana rakyat asal mereka sendiri. Apabila datang penjajah mereka berpecah belah dan bertikam lidah sesame sendiri. Ia telah berlarutan sejak beberapa dekad lagi. UMNO muncul disaat kemunculan pejuang patriot mereka melancarkan sentimen Melayu begitu jugalah DAP bangun dari kesilapan lampau dengan menggunakan sentiment yang sama tetapi dalam acuan mereka sendiri.