Hari minggu datang selagi, dan aku meneruskan perjuangan untuk menulis sebuah cerita tentang semalam yang aku tidak pernah lupakan. “Bangun! Bangun!”, kedengaran suara mama menerjah keheningan pagi tu. Aku lantas bangun dan terus masuk ke bilik air untuk bersiap dan mandi. Di sambil menunggu air yang sejuk pagi itu menjadi kurang sejuk (cuba mengadaptasi kesejukan air dalam bilik mandi), aku menyalakan sebatang rokok sambil bertenggek dalam keadaan mencangkung sambil tuala terlilit di pingggang. Setelah selesai aku menghabiskan sebatang rokok aku pun kembali membuka pancuran air yang telah tersedia untuk mandi. Perlahan-lahan aku mengenakan air ke kaki dan terus naik ke lutut dan kemudian barulah membasahi tubuhku yang sejak tadi menggigil ketakutan.
Sambil melayan kesejukkan pagi itu, fikiran aku terus melayang kepada perasaan aku yang lampau.
Aku teringat akan seorang perempuan yang aku pernah sukai dan pernah nyatakan hasrat hatiku padanya. Bayangan wajah dan suaranya sering wujud dalam nyata aku meskipun aku hanya teringat akan dirinya di kala aku tiada membuat apa-apa melainkan berkhayal. Aku begitu sukakan wanita ini, dan hampir setiap hari aku membayangkan dia sentiasa berada di sisi aku. Apabila menonton televisyen aku merasakan dia berada disebelah aku dan memeluk aku seolah ingin dibelai untuk turut sama-sama menonton rancangan Astro yang pada ketika itu aku tidak tahu hujung pangkal ceritanya. Sesekali aku meminta dia untuk mengambilkan air dan memotong buah dan lantas menyuapkan ke mulutku disamping aku menikmati kemanisan buah itu. Kami kemudian terus melayan cerita itu di atas sofa sambil bersaksikan bunyi cengkerik dan cicak di dalam rumah. Setiap iklan yang hadir di kaca televisyen menjadi perdebatan kami dan topik untuk dijadikan bahan jenaka supaya aktiviti sebegini tidak sunyi dengan kemesraan dua insan yang saling berkasih.
Aku mengelamun dalam keadaan sedar dan yang pasti aku masih lagi di dalam bilik air membilas tubuhku yang dipenuhi buih sabun mandian dan juga syampoo murah yang baru dibeli. Syampoo yang tidak dikenali jenamanya, berbotol besar dan harganya yang kurang dari sepuluh ringgit itu cukuplah membaluti rambut aku dikala setiap kali aku mandi meskipun baunya tidaklah sesedap syampoo ‘Rejoice’ atau ‘Pantene’ yang selalu aku beli semasa aku berada di Kuala Lumpur pada masa yang tak berapa lama dulu. Kini, semua perbelanjaan aku disubsidi oleh mama dan abah. Terkenang sewaktu aku bekerja dan pertama kali mendapat duit yang begitu banyak di dalam akaun simpanan di bank tetapi akhirnya setelah ditolak semua hutang yang ada, duit yang tinggal hanyalah cukup untuk menyara perbelanjaan minyak motor, barang makanan dan juga membeli rokok seludup. Gaji beribu-ribu di Bandar besar seperti Kuala Lumpur memang tidak cukup. Tambahan lagi aku tinggal bersendirian di rumah bapa saudara aku yang sememangnya cukup membosankan.
Hampir setiap hari aku akan cuba mencari aktiviti yang boleh aku buat di luar rumah sama ada berjumpa rakan atau melepak di kedai makan bersendirian sambil bertemankan rokok murah yang tidak susah untuk didapati di sekitar daerah Gombak ini. Rakan-rakan aku adalah bekas satu kolej semasa aku belajar di Universiti Malaya dahulu dan mereka juga bekas rakan serumah aku semasa aku tidak lagi tinggal di kampus universiti. Mereka semua memang satu kepala dengan aku dan setiap orang dalam rumah sewa itu ada kelebihan masing-masing dan pada saat itu hingga sekarang mereka memang cukup menghiburkan hati aku. Rumah mereka berada di Pantai Dalam dan aku menetap di Gombak membuatkan aku terpaksa melalui 20 minit perjalanan untuk ke sana setiap kali aku ingin melepak dengan mereka. Tetapi semua itu berbaloi demi mendapatkan hiburan berbanding melepak seorang diri di kedai mamak sekitar Taman Sri Gombak atau sekitar Hentian Putra Sentul Timur.
Kini masing-masing punya kerja dan hal masing-masing. Jadi waktu untuk melepak agak terhad dan hanya pada waktu tertentu saja kami dapat berkumpul dengan kesemua orang yang ada kelapangan. Aku masih lagi tercari-cari kerja yang sesuai dan layak untuk aku buat dan masa yang sama duit yang ada di dalam kantungku semakin sedikit membuatkan aku terpaksa meninggalkan kotaraya Kuala Lumpur untuk pulang dan mencari kerja di sana. Kuantan, Bandar yang sunyi suatu ketika dahulu kini sudah dipenuhi dengan aktiviti malam yang indah terutama sekali di waktu hujung minggu. Anak muda sudah mula berjinak-jinak dengan kereta dan aksesori turbonya. Istilah mat rempit masih lagi relevan di Bandar Kuantan.
Bersambung…
0 comments:
Catat Ulasan