Subjek
Penulisan di sekolah rendah dan menengah.
Topik
yang ingin dituliskan pada kali ini adalah mengenai subjek penulisan. Adakah
anda masih ingat akan subjek Penulisan ketika di sekolah rendah dan juga
menengah? Pasti ramai yang akan tersenyum sinis apabila dipersoalkan tentang
soalan ini. Di dalam benak pemikiran setiap orang pasti terimbau kembali wajah
guru yang mengajar mereka untuk subjek Penulisan ini. Ada juga yang mungkin
terfikir akan betapa malasnya menyiapkan kerja sekolah setiap kali hujung
minggu apabila dibekalkan dengan kerja membuat karangan sebanyak dua tajuk
setiap kali tiba hujung minggu. Mungkin ada dikalangan anda yang akan
menyiapkan kerja sekolah membuat karangan ini ketika waktu malam Ahad sebelum
bermulanya sesi persekolahan pada Isnin pagi berikutnya.
Sebenarnya ramai anak muda Melayu kita
mempunyai kemahiran dalam bidang penulisan pada zaman awal persekolahan mereka.
Mereka akan cuba sedaya upaya untuk menghasilkan karangan yang panjang sehingga
menjangkau tujuh dan lapan perenggan bagi murid sekolah rendah. Sekiranya ingin
mengira jumlah patah perkataan yang ditulis maka akan bertambahlah bilangannya
setiap kali menghantar latihan kerja sekolah ini. Mungkinkah pelajar hari ini
masih lagi berusaha sedaya upaya untuk menulis karangan yang panjang untuk
mendapatkan markah yang penuh kerana semakin panjang karangan yang ditulis maka
akan semakin bertambahlah jumlah isi kandungan karangan itu. Saya tidak
terfikir yang pelajar sekolah rendah pada hari ini akan menulis karangan yang
begitu panjang kerana pihak sekolah atau Kementerian Pelajaran akan menapis
berapakah had jumlah perenggan yang akan ditulis oleh pelajar bagi tujuan
peperiksaan.
Penulisan
bagi saya adalah ekspresi dalaman setiap orang tentang bagaimana mereka
meluahkan sesuatu tajuk yang dituliskan ke dalam bentuk ayat. Menulis memang
tidak susah tetapi menulis dengan susunan ayat yang baik disusuli pula dengan
keindahan bahasa yang cantik menyerikan lagi sesuatu karangan yang ditulis itu.
Tujuan menulis disamping untuk tujuan bercerita perlulah disertakan dengan
perasaan yang mudah difahami kerana orang yang akan membaca karangan itulah
yang akan menjadi penilai kepada kualiti penulisan kita. Sebenarnya sikap suka
menulis ini perlu diterapkan ke dalam budaya kita seharian sama seperti kita
menerapkan budaya suka membaca dikalangan anak-anak dan orang dewasa.
Untuk
menulis kita memerlukan modal iaitu idea atau sekurangnya pengalaman tentang
suatu tajuk yang akan diceritakan. Di sini ia menggalakkan setiap orang cuba
untuk mencari maklumat mengenai suatu tajuk dan dibiarkan menulis dalam gaya
bahasa mereka tersendiri termasuklah pandangan peribadi mereka. Minda perlu
sentiasa diasah untuk berfikir dan sentiasa diluahkan supaya apa yang
difikirkan tidak hanya terbiar begitu sahaja. Baik atau buruk setiap ekspresi
dalam bentuk penulisan itu boleh mengurangkan tekanan yang dihadapi. Selain itu
juga melalui penulisan mereka boleh membayangkan mengenai sesuatu yang tidak
mungkin akan berlaku dalam kehidupan sebenar atau ia hanyalah rekaan
semata-mata. Ini dipanggil imaginasi dan di zaman ini imaginasi perlu mendahului
teknologi kerana ia akan membawa kepada suatu perubahan melalui apa yang telah
kita fikirkan hari ini untuk masa depan.
Jadi,
sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak, perlulah mengambil satu langkah
kehadapan dengan menggalakkan anak mereka untuk memulakan sikap suka menulis
disamping diterapkan sikap suka membaca. Apa yang telah dilakukan oleh para
guru di sekolah amatlah bertepatan dengan memberikan latihan menulis karangan
hampir setiap minggu. Ini adalah salah satu langkah dalam cubaan untuk
memartabatkan bahasa Melayu bagi golongan Melayu supaya tidak melupakan bahasa
sastera yang hanya boleh dijumpai melalui
buku-buku yang ditulis oleh penulis lama. Kosa kata yang digunakkan oleh
penulis lama adalah lebih klasik dan jarang didengari dalam masyarakat Melayu
moden hari ini. Bahasa ini mungkin akan menjadi lebih janggal digunakan
sekiranya ia tidak sentiasa diperlihatkan kepada anak bangsa kita pada hari
ini. Oleh itu marilah kita menetapkan bahawa setiap hujung minggu , kita cari
satu topik yang mudah dan luahkan pandangan kita terhadap tajuk tersebut dan
catatkan di dalam buku atau mana-mana media elektronik. Hari yang semakin canggih
ini sepatutnya mampu menambahkan kualiti dan mutu gaya penulisan bangsa hari
ini dalam kemahiran membuat karangan.
“Jadikan Hujung Minggu Sebagai Hari Untuk
Menulis”.
0 comments:
Catat Ulasan