Jumaat, 7 September 2012
Hari Jumaat, hari yang digelar sebagai penghulu kepada segala hari. Hari yang cukup tenang dengan nur dan keimanan yang melembayungi tanah di bumi dan seisinya.Bumi yang semakin tua dan penuh dengan cabaran demi cabaran. Sebanyak mana manusia itu beriman dan sentiasa bertawakkal kepada tuhannya. Merasa rendah diri dan kecil diatas bumi ini adalah sesuatu yang digalakkan oleh agama. Sudah cukupkah amalan kita ketika berada di atas dunia ini. Sekiranya hati masih lagi ada benci sesama manusia, takut untuk membenarkan yang bathil ataupun apa sahaja bentuk penyakit hati, maka segeralah bertaubat dan mencari kebenaran yang hanya boleh disampaikan oleh Allah.
Memang agama itu berat bagi yang memandang ia suatu yang berat.Tetapi permudahkanlah agama itu dengan mencari kemudahan yang banyak terdapat di dalam agama.Tidak akan ada manusia yang benar-benar mendapat petunjuk dari tuhan melainkan dia khusyuk dan terpengaruh dengan solat yang telah dia sendiri lakukan. Banyak berdolak dalih dan menunggu sesuatu yang tak pasti itu tidak membawa apa-apa erti kepada diri mahu pun orang lain.Tetapi ingatlah untuk bersabar kerana doa orang Islam itu pasti akan makbul dan didengari oleh tuhannya suatu hari nanti.Hatta terpaksa menunggu seribu tahun untuk tuhan untuk mendengar doa kita, tidak mengapa. Itulah yang dinamakan sabar, dan sabar itu melindungi diri dari sifat yang tidak baik dan keji. Cuma perlu berhati-hati dalam memperhalusi niat sabar ini kerana akan tiba suatu ketika kesabaran itu akan semakin memudar dan suram. Disaat ini akan timbul rasa putus asa dan hilang keyakinan dalam diri.
Juga perlu diambil kira akan sikap berperasangka buruk kepada tuhan adalah amalan keji lagi dibenci oleh tuhan. Perlulah tanam dalam diri nilai-nilai yang positif dalam diri supaya kita tidak terjerumus kepada bahaya yang ditiup oleh syaitan yang semakin ramai.Wallahhuallam
0 comments:
Catat Ulasan